INTERNATIONAL
Tarif automotif AS tinggalkan kesan besar terhadap ekonomi Jepun - PM

Ishiba berkata rancangan Amerika Syarikat untuk mengenakan tarif tambahan 25 peratus ke atas import automotif akan memberi kesan kepada ekonomi Jepun. - Foto AP
TOKYO: Rancangan kerajaan Amerika Syarikat (AS) untuk mengenakan tarif tambahan 25 peratus ke atas import automotif akan memberi "kesan yang amat besar" kepada ekonomi Jepun, kata Perdana Menteri Shigeru Ishiba pada Jumaat, memandangkan eksport merupakan pemacu utama pertumbuhan negara Asia itu.
Ishiba semasa sesi parlimen berkata, "Kami akan memikirkan kaedah paling berkesan untuk membuatkan AS memahami yang langkah ini tidak akan membawa manfaat kepadanya," sambil menyatakan kesediaan untuk meneruskan rundingan dengan Washington, lapor Kyodo News Agency.
Ahli lembaga dasar Bank of Japan (BOJ) turut menyuarakan kebimbangan terhadap kesan negatif tarif ke atas ekonomi negara, menurut ringkasan pendapat daripada mesyuarat dasar Mac yang dikeluarkan pada Jumaat, ketika bank pusat itu cenderung menaikkan kadar faedah bagi mengekang inflasi.
Bank pusat "perlu lebih berhati-hati dalam mempertimbangkan masa yang sesuai untuk menaikkan kadar faedah dasar," kerana tarif yang diteruskan oleh Presiden AS Donald Trump boleh menjejaskan ekonomi Jepun, menurut seorang ahli lembaga yang dipetik dalam laporan itu.Seorang lagi ahli berkata "risiko kemelesetan terhadap ekonomi Jepun semakin meningkat" dan berpendapat BOJ harus mengekalkan kadar dasar semasa buat sementara waktu.
Dalam mesyuarat dua hari yang diadakan minggu lalu, BOJ mengekalkan kadar faedah jangka pendek utama pada 0.5 peratus susulan ketidaktentuan yang semakin meningkat mengenai dasar perdagangan AS. Gabenor Kazuo Ueda berkata bank itu akan memperketatkan dasar monetari jika keadaan mengizinkan.
Namun, sekurang-kurangnya seorang ahli masih bimbang mengenai inflasi, dengan menyatakan yang prospek ekonomi yang suram tidak semestinya bermaksud BOJ "harus sentiasa melaksanakan dasar monetari secara berhati-hati", serta memberi amaran bahawa bank pusat itu "mungkin menghadapi situasi yang memerlukan tindakan tegas".
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami