Skip to main content

Dunia

Bekas mejar jeneral Nigeria yang dilarikan, meninggal dunia dalam tawanan pengganas

Sumber: Facebook/Ayegba S. Ayegba
Abubakar bersama isterinya dilarikan pada 31 Mei lepas ketika berada di jalan Marabar Musawa-Kafinsoli berhampiran Kampung Zakin Baure di Kawasan Kerajaan Tempatan Matazu, negeri Katsina. - Facebook Ayegba S. Ayegba

LAGOS (NIGERIA): Seorang pesara mejar jeneral tentera darat Nigeria yang dilarikan kumpulan pengganas di wilayah barat laut negeri Katsina, disahkan meninggal dunia ketika dalam tawanan pada Sabtu, lapor Anadolu Ajansi (AA).

Menurut kerajaan negeri, Mejar Jeneral (B) Rabe Abubakar yang merupakan bekas Pengarah Penerangan Pertahanan dan pernah berkhidmat sebagai jurucakap tentera, meninggal dunia akibat komplikasi berkaitan penyakit diabetes dan hipertensi semasa ditahan oleh pengganas.

Pihak berkuasa negeri dan agensi keselamatan dilaporkan telah melakukan segala usaha  untuk menyelamatkan Abubakar, namun insiden itu berakhir dengan tragedi.

Abubakar bersama isterinya dilarikan pada 31 Mei lepas ketika berada di jalan Marabar Musawa-Kafinsoli berhampiran Kampung Zakin Baure di Kawasan Kerajaan Tempatan Matazu, negeri Katsina ketika dalam perjalanan dari Kaduna.

Pemandu mereka dilaporkan berjaya melarikan diri meskipun mengalami kecederaan akibat terkena tembakan dalam serangan itu.

Sebelum kematian mangsa, kerajaan negeri Katsina memaklumkan bahawa operasi keselamatan bagi menyelamatkan bekas mejar jeneral terbabit serta tawanan lain telah berada di peringkat lanjutan, selain menyatakan keyakinan bahawa mereka akan dibebaskan tidak lama lagi.

Beberapa hari selepas dilarikan, kumpulan terbabit telah mengeluarkan rakaman video yang memaparkan keadaan Abubakar dan isterinya dalam tawanan.

Menerusi rakaman itu, pengganas menuntut pembebasan beberapa rakan sekutu mereka yang ditahan serta pemulangan ternakan yang didakwa telah dirampas daripada mereka. Isteri Abubakar dilaporkan masih berada dalam tawanan.

-- BERNAMA-ANADOLU

 

Must Watch Video

Advertisement