INTERNATIONAL
Tarif Trump: ’AS akan menderita tidak lama lagi’ - Dr Mahathir

Dr Mahathir berkata, walaupun strategi polisi tersebut bertujuan untuk membawa pulang industri ke AS namun ia tetap tidak akan dapat bersaing dengan China. - Gambar fail
PUTRAJAYA: Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad meramalkan Amerika Syarikat (AS) akan terkesan dengan kadar tarif timbal balik yang dikenakan oleh Presiden Donald Trump.
Ringkasan AI
- Dr Mahathir meramalkan bahawa dasar tarif tinggi oleh Presiden Trump bukan sahaja menyusahkan negara lain, tetapi juga akan memberi kesan negatif kepada rakyat dan ekonomi Amerika Syarikat sendiri.
- Walaupun AS cuba membawa pulang industri ke dalam negara, kos pengeluaran yang tinggi dan amalan seperti mogok serta cuti umum menjadikan produk AS kurang mampu bersaing dengan barangan buatan China.
- Dr Mahathir menjangka Trump akan menamatkan perang tarif kerana tekanan dalaman, memandangkan kos sara hidup tinggi di AS akan menyebabkan rakyatnya sendiri terkesan dengan kenaikan harga barang.
“Jadi AS perlu membayar harga yang tinggi untuk tarifnya... bukan sahaja negara lain, malah mereka sendiri akan menderita. Berapa lama ia boleh (bertahan sebelum mula) menderita? Saya fikir tidak lama lagi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sesi bual bicara pada majlis pelancaran buku bertajuk “Cabaran Pembangunan Ekonomi Abad 21” di Yayasan Kepimpinan Perdana, di sini, pada Isnin.
Mengulas lanjut, Dr Mahathir juga berpendapat Trump akan menamatkan tindakannya mengenakan tarif yang diumumkan pada 2 April.
“Saya rasa tidak lama lagi Trump perlu menamatkan (perang) tarifnya. Apabila beliau mengenakan tarif yang tinggi, bukan warga asing sahaja yang menderita, rakyatnya juga anda akan menderita,” katanya.
Tambah beliau lagi, AS juga merupakan sebuah negara dengan kos sara hidup yang tinggi, malah amalan biasa negara itu menyebabkan harga barang bakal melambung naik seandainya tarif tersebut dilaksanakan sepenuhnya.
“Setiap produk AS membawa kos yang tinggi kerana gaji yang tinggi dan banyak amalan di sana seperti mogok dan cuti umum dan seumpamanya... yang menaikkan harga barangan buatan mereka,” katanya.
Dr Mahathir berkata demikian ketika ditanya oleh Pakar Ekonomi Profesor Dr Muhamad Abdul Khalid selaku moderator mengenai geopolitik dalam memilih AS atau China.
Trump pada 3 April mengumumkan akan mengenakan tarif asas sebanyak 10 peratus ke atas semua import ke AS dan duti yang lebih tinggi ke atas puluhan negara lain manakala Malaysia pula dikenakan sebanyak 24 peratus.
Namun pada 10 April, Trump menggantung tarif timbal balik selama 90 hari kepada 75 negara sebagai hasil rundingan diplomatik ke atas AS.
Tarif 'timbal balik’ itu, menurut Trump, adalah sebagai tindak balas terhadap duti dan halangan bukan tarif lain yang dikenakan ke atas barangan AS. Beliau berhujah bahawa levi baharu ini akan meningkatkan pekerjaan pembuatan di dalam negara.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami