DUNIA
Tarif Trump: Tiada lanjutan, tarikh akhir kekal 1 Ogos

Presiden Trump menyampaikan kenyataan mengenai kadar tarif perdagangan di White House, Washington, pada 2 April 2025. - Gambar fail Reuters
WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump menegaskan, tiada lanjutan akan diberikan terhadap tarikh akhir 1 Ogos bagi pelaksanaan tarif perdagangan baharu ke atas puluhan negara, termasuk sekutu rapat Washington.
Kenyataan itu dibuat pada Selasa (8 Julai), sehari selepas beliau dilihat memberi bayangan berkemungkinan fleksibel terhadap tarikh berkenaan.
Trump sebelum ini mengenakan tarif 10 peratus secara menyeluruh terhadap barangan dari hampir semua rakan dagang AS sejak April, dan kemudiannya mengumumkan kadar lebih tinggi khusus terhadap lebih 20 ekonomi - namun pelaksanaannya telah ditangguh beberapa kali dan kini dijadual bermula 1 Ogos.
“Tiada sebarang perubahan. Tiada lanjutan akan diberikan,” tegas Trump menerusi hantaran di platform Truth Social.Beliau turut memaklumkan, semua negara yang terlibat telah mula menerima surat rasmi berkaitan tarif tersebut, yang akan mula dikuatkuasakan pada awal bulan depan.
Surat amaran kepada Jepun, Korea Selatan dan negara ASEAN
Menurut sumber, Trump telah menghantar surat rasmi kepada sejumlah negara termasuk sekutu utama seperti Jepun dan Korea Selatan, memaklumkan bahawa barangan dari kedua-dua negara itu akan dikenakan tarif sebanyak 25 peratus.
Negara-negara lain seperti Malaysia, Indonesia, Thailand, Bangladesh dan Afrika Selatan turut tersenarai sebagai penerima tarif baharu dengan kadar antara 25 hingga 40 peratus.
Trump dalam suratnya memberi amaran bahawa sebarang tindakan balas terhadap tarif tersebut akan menyebabkan peningkatan tarif lebih tinggi, dan Washington tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan susulan.
Namun, beberapa negara seperti Laos dan Kemboja dilaporkan bakal menerima kadar tarif yang lebih rendah berbanding yang diumumkan sebelum ini.
Trump turut memberi bayangan bahawa kadar tarif itu masih boleh diubah bergantung kepada hubungan dua hala dengan negara terbabit serta kesediaan mereka untuk menyemak semula dasar perdagangan masing-masing.
“Jika anda bersedia menyesuaikan dasar perdagangan, kami akan, mungkin, mempertimbangkan semula kandungan surat ini,” katanya dalam surat rasmi itu.
Presiden AS itu juga memberi amaran bahawa barangan yang dihantar semula (transshipment) dari negara ketiga untuk mengelak tarif akan dikenakan kadar lebih tinggi.
Pentadbiran Trump ketika ini berdepan tekanan untuk menunjukkan hasil nyata selepas beberapa siri ugutan tarif dikenakan sejak beliau kembali ke White House.
Setakat ini, Washington hanya berjaya memeterai dua perjanjian - masing-masing dengan Britain dan Vietnam, selain satu persefahaman dengan China untuk mengurangkan tarif secara berperingkat.
Dalam semua surat yang dihantar, Trump menekankan isu ketidakseimbangan timbal balik dalam hubungan perdagangan sebagai punca utama pelaksanaan tarif baharu ini. - Agensi
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami