DUNIA
Taufan Co-May landa Shanghai, timur China buat kali kedua

Penduduk menggunakan payung dan baju hujan untuk berlindung daripada hujan lebat dan angin kencang susulan Taufan Tropika Co-May yang melanda sebuah bandar berhampiran di Shanghai, China. - Foto REUTERS
SHANGHAI: Taufan Co-May, iaitu taufan kelapan tahun ini, melanda buat kali kedua di Bandar Raya Shanghai, China Timur pada petang Rabu, selepas membadai kali pertama di Wilayah Zhejiang awal pagi Rabu, menurut pusat pemerhatian meteorologi Shanghai, lapor Xinhua.
Pusat Taufan Co-May (berstatus ribut tropika) membadai kali kedua di pesisir Daerah Fengxian, Shanghai kira-kira 4:40 petang. Ketika tiba, kelajuan angin maksimum berhampiran pusat taufan direkodkan pada 23 meter sesaat, dengan tekanan minimum pusat sebanyak 978 "hectopascals".
Bagi menghadapi taufan itu, Daerah Fengxian membuat persiapan awal termasuk mengenal pasti risiko berpotensi serta menjalankan pemindahan dan penempatan semula penduduk daripada kawasan berbahaya.
Bermula Selasa, daerah itu menutup lokasi pelancongan dan membawa 71 bot nelayan ke pelabuhan untuk berlindung.Sehingga 8 malam Selasa, seramai 15,172 orang dipindahkan dan ditempatkan semula di Daerah Fengxian, dengan 4,660 orang daripadanya ditempatkan di pusat penempatan semula berpusat dan 45 lokasi penempatan semula telah digunakan.
Sebanyak 918 pasukan penyelamat kecemasan, membabitkan 7,741 orang digerakkan oleh jabatan profesional seperti bekalan elektrik, telekomunikasi,dan saliran di kawasan itu.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami