Tekanan memuncak terhadap Andrew Windsor untuk berikan keterangan berhubung Epstein

Gelaran putera dan Duke of York yang disandang oleh Andrew telah ditarik balik oleh Raja Britain, Raja Charles pada Khamis malam. - Reuters
LONDON: Tekanan semakin memuncak terhadap Andrew Mountbatten Windsor untuk memberikan keterangan di hadapan Jawatankuasa Kongres Amerika Syarikat (AS) berhubung kaitannya dengan penjenayah pedofil dan ahli kewangan Jeffrey Epstein, lapor PA Media/dpa.
Raja Britain, Raja Charles pada Khamis malam telah menarik balik gelaran putera dan Duke of York yang disandang oleh adiknya itu, manakala kenyataan Istana Buckingham menegaskan bahawa baginda dan Ratu Camilla menzahirkan simpati terhadap mangsa penderaan.
Ahli Jawatankuasa Pemantauan Dewan Perwakilan AS kemudiannya menyeru bekas putera itu untuk mendedahkan segala maklumat yang diketahuinya mengenai tindakan Epstein yang disabitkan dengan kesalahan pemerdagangan seks.
Ahli Kongres Demokrat Raja Krishnamoorthi memberitahu rancangan BBC Newsnight bahawa beliau mahu Andrew memberikan keterangan di hadapan Kongres, sambil berkata: "Saya sanggup mengeluarkan sepina terhadapnya."
Beliau menambah: "Melaksanakan sepina bukanlah mudah terhadap seseorang yang berada di luar negara. Namun, jika Andrew berhasrat datang ke AS atau kini berada di sini, dia tertakluk kepada bidang kuasa Kongres AS, dan saya menjangka dia perlu memberi keterangan."
Krishnamoorthi turut menyampaikan mesej kepada Andrew: "Bersikap jujurlah. Datang ke Kongres AS, beri keterangan secara sukarela. Jangan tunggu sepina. Datang dan beritahu kami apa yang anda tahu. Pada akhirnya, kami mahu tahu perkara sebenar yang berlaku, bukan sahaja untuk memberikan keadilan kepada mangsa, tetapi juga bagi mengelakkan perkara ini berulang."
Ahli Kongres Suhas Subramanyam pula memberitahu BBC pada Sabtu: "Saya mahu dia hadir ke jawatankuasa kami dan memberitahu segala yang diketahuinya mengenai Jeffrey Epstein dan jenayah yang dilakukan. Ini cara terbaik untuk Andrew membersihkan namanya serta membantu kami meneruskan usaha menegakkan keadilan untuk mangsa. Nama Andrew disebut banyak kali oleh mangsa, jelas menunjukkan dia mengetahui apa yang berlaku."
Jurucakap Polis Metropolitan berkata pihaknya dimaklumkan mengenai dakwaan pemerdagangan manusia untuk eksploitasi seksual pada 2015 yang "berkaitan kejadian di luar United Kingdom serta satu dakwaan pemerdagangan ke pusat London pada Mac 2001."
Menurutnya, selepas mendapatkan nasihat undang-undang, "jelas bahawa sebarang siasatan mengenai pemerdagangan manusia akan tertumpu kepada aktiviti dan hubungan di luar UK," dan pihak polis mendapati "bidang kuasa lain lebih sesuai untuk meneruskan siasatan terhadap dakwaan tersebut."
Pada November 2016, polis memutuskan bahawa kes itu tidak akan diteruskan kepada siasatan jenayah penuh.
Sementara itu, tumpuan dunia kini terarah kepada Royal Lodge selepas laporan bahawa Andrew akan berpindah dari Windsor ke kediaman persendirian.
Laporan turut mendakwa Andrew akan menerima bayaran sekali gus berjumlah enam angka serta bayaran tahunan sebagai sebahagian daripada "penyelesaian pemindahan" selepas dipaksa meninggalkan Royal Lodge.
Bekas putera itu dijangka menerima bayaran sekali gus bagi menampung kos perpindahan, diikuti elaun tetap yang dibiayai secara peribadi oleh raja untuk mengelakkan beliau "berbelanja berlebihan dalam kehidupan baharunya sebagai orang biasa," lapor akhbar The Guardian.
Bayaran tahunan itu dilaporkan bernilai beberapa kali ganda lebih besar daripada pencen tenteranya sebanyak GBP20,000 (US$26,000) setahun.
Laporan mengenai bayaran itu muncul susulan dakwaan bahawa keputusan untuk melucutkan penghormatan dan gelaran Andrew dipengaruhi oleh kebimbangan Permaisuri terhadap kesannya terhadap kerja-kerja baginda menyokong mangsa penderaan seksual.
Menurut The Daily Telegraph, Camilla terkejut hubungan Andrew dengan Epstein dan menganggap kontroversi berterusan itu mengganggu tugas-tugas awamnya.
Permaisuri telah lama menyokong mangsa serangan seksual dan penderaan domestik, dan sebuah buku baharu mendedahkan bahawa baginda sendiri pernah melawan seorang lelaki yang cuba mencabulnya di dalam tren ketika baginda masih remaja.
The Times pula melaporkan bahawa Andrew bersetuju meninggalkan Windsor selepas bekas isterinya, Sarah Ferguson, memaklumkan bahawa beliau juga akan keluar dari kediaman itu.
Sarah tidak akan berpindah bersama Andrew dan perlu mencari kediaman baharu sendiri.
Pada awal Oktober, diumumkan bahawa Andrew bersetuju berhenti menggunakan semua gelaran rasmi tetapi masih mengekalkan status sebagai putera serta gelaran dukenya, menjelang penerbitan memoir mendiang Virginia Giuffre, wanita yang menuduh bekas duke itu menyerangnya secara seksual ketika beliau masih remaja.
Andrew menafikan sekeras-kerasnya tuduhan tersebut.
Terdapat pelbagai dakwaan dalam media termasuk bahawa Andrew cuba mendapatkan bantuan Polis Metropolitan untuk mencari bahan bagi kempen memburukkan Giuffre.
Pihak polis sebelum ini berkata mereka sedang meneliti dakwaan tersebut selepas akhbar, The Mail On Sunday mendakwa Andrew menyerahkan tarikh lahir dan nombor keselamatan sosial Giuffre kepada pengawal peribadinya yang dibiayai oleh pembayar cukai pada 2011 dan mengarahkannya menyiasat wanita itu.
Jawatankuasa Akaun Awam juga mengesahkan bahawa ia sedang menulis kepada Crown Estate, iaitu tuan tanah rasmi Andrew, serta Perbendaharaan untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai pajakan kediamannya yang mencetuskan kemarahan awam apabila diketahui beliau hanya membayar sewa nominal.
Tindakan Raja Charles mula menampakkan hasil apabila nama Andrew telah dikeluarkan daripada senarai rasmi bangsawan, sekali gus gelaran Duke of York tidak lagi digunakan secara rasmi.
Dalam masa terdekat, raja dijangka menghantar waran diraja kepada Canselor David Lammy serta surat hak istimewa (letters patent) bagi memansuhkan secara rasmi hak Andrew menggunakan gelaran putera.
Bekas duke itu sebelum ini memiliki pajakan "kukuh" untuk kediaman Royal Lodge dan hanya selepas rundingan dengan wakil raja beliau bersetuju menyerahkan notis rasmi pada Khamis bagi menamatkan pajakan tersebut yang sepatutnya berbaki lebih 50 tahun.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


