BEIRUT: Sebahagian daripada binaan yang menjadi tempat simpanan bijirin di pelabuhan Beirut runtuh pada Ahad.

Ia runtuh hanya beberapa hari sebelum ulang tahun kedua letupan dahsyat di pelabuhan ibu kota Lubnan yang memusnahkan kedai dan kawasan bandar itu.

Runtuhan pada Ahad itu disebabkan oleh kebakaran yang berlaku pada binaan tersebut pada awal bulan ini akibat penapaian stok bijirin yang terkesan dengan suhu musim panas yang melambung tinggi, menurut pihak berkuasa.

Wartawan AFP berkata, kepulan debu menyelubungi pelabuhan itu selepas sebahagian binaan tersebut runtuh, yang mana kebakaran telah marak selama lebih dua minggu.

Helikopter tentera menggunakan air bagi memadamkan kebakaran di kawasan itu.

Dua menara telah runtuh setakat ini dan dua lagi dalam bahaya runtuh di bahagian utara binaan tersebut yang rosak teruk, kata Menteri Kerja Raya, Ali Hamieh memberitahu AFP.

Sebahagian binaan yang terjejas akibat letupan mega pada 2020, runtuh selepas terbakar beberapa minggu, Beirut, Lubnan, 31 Julai 2022. (Foto AP)

Pada 4 Ogos 2020, letupan mega telah berlaku di pelabuhan Beirut yang mengorbankan lebih 200 orang dan mencederakan lebih 6,500 orang.

Letupan pada tahun 2020 itu disebabkan oleh baja ammonium nitrat yang disimpan secara sembarangan dan kemudian terbakar. - Agensi/Sinar Harian