Tentera Guinea-Bissau rampas kuasa, Presiden digulingkan

Sekumpulan pegawai tentera berkata presiden digulingkan dan semua institusi kerajaan ditutup buat sementara waktu. - AP
DAKAR (Senegal): Pihak tentera Guinea-Bissau pada Rabu mengumumkan bahawa mereka telah menggulingkan kerajaan sedia ada dan kini mengambil alih pemerintahan negara itu, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Dalam satu kenyataan yang disiarkan menerusi Facebook stesen televisyen negara, TGB, sekumpulan pegawai tentera berkata presiden digulingkan dan semua institusi kerajaan ditutup buat sementara waktu.
Jurucakap kumpulan itu, Jeneral Denis N'Canha, berkata rampasan kuasa dianggap perlu selepas komando tinggi tentera mendedahkan rancangan memanipulasi keputusan pilihan raya dan menggugat kestabilan negara.
Beliau mendakwa beberapa ahli politik serta seorang ketua sindiket dadah terkenal turut terlibat dalam rancangan itu.
"Bagi memulihkan keselamatan negara dan ketenteraman awam, komando tinggi angkatan bersenjata memutuskan untuk menyingkirkan presiden republik daripada jawatannya serta-merta," katanya.
Tentera turut menguatkuasakan perintah berkurung pada waktu malam.
Terdahulu, Presiden Umaro Sissoco Embalo memberitahu majalah Perancis Jeune Afrique bahawa beliau, menteri dalam negeri dan ketua staf angkatan tentera telah ditahan di Istana Presiden, namun menegaskan tiada kekerasan digunakan terhadapnya.
Beberapa das tembakan dilaporkan kedengaran di ibu negara, Bissau.
Pilihan raya presiden dan parlimen yang tertangguh sekian lama akhirnya diadakan pada Ahad lalu. Embalo dan pencabar utamanya, Fernando Dias masing-masing mengisytiharkan kemenangan.
Keputusan rasmi pilihan raya itu dijangka diumumkan pada Khamis.
Embalo, 53, seorang bekas jeneral, telah memerintah sejak 2020 dan membubarkan parlimen pada penghujung 2023. Tempoh pemerintahannya telah tamat beberapa bulan lalu.
Parti pembangkang utama pula diketepikan daripada pilihan raya dan menyokong calon bebas, Dias.
Guinea-Bissau, yang memiliki sekitar 2.2 juta penduduk, merupakan antara negara termiskin di dunia. Negara itu berdepan beberapa rampasan kuasa dan cubaan rampasan kuasa sejak merdeka pada 1974.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


