KLIP video yang memaparkan sebuah objek misteri yang bergerak pantas merentasi udara disahkan tulen oleh pasukan Tentera Laut Amerika Syarikat (AS).

Jurucakap Tentera Laut AS, Joseph Gradisher memberitahu NBC News bahawa ketiga-tiga video itu dirakam semasa latihan ketenteraannya.

Jelasnya, video-video tersebut tidak sepatutnya disebar luas kepada orang awam berikutan ia adalah sesuatu yang sulit.

“Ketiga-tiga video ini menunjukkan 'gangguan' semasa latihan ketenteraan kami oleh objek terbang misteri yang tidak dikenali,” katanya.

Bagaimanapun, ia tidak dijelaskan secara terperinci tentang kandungan video tersebut.

Salah satu video itu memaparkan objek gelap berbentuk pil merentasi ruang udara selama beberapa saat sebelum ia hilang dari rakaman.

Manakala, satu lagi video menunjukkan pasukan tentera cuba 'menangkap' pergerakan objek tidak dikenali itu menggunakan sistem sensor khas daripada pesawat.

Malah, di dalam video berkenaan juga terdapat perbualan di antara pasukan tentera yang bingung dengan penemuan objek berkenaan.

Klip-klip video itu sebelum ini menjadi tular selepas ia disebarkan oleh To The Star Academy of Arts & Science sekitar Disember 2017 dan Mac 2018.

Salah satu daripada video tersebut dirakam pada 2004 manakala dua lagi dikatakan berjaya dirakam pada tahun 2015.

Setakat ini, Pentagon berkata video itu perlu disekat agar ia tidak terus disebar luas kepada masyarakat awam, namun, klip video berkenaan sudah pun menjadi tontonan ramai.