DUNIA
Benjamin Netanyahu mohon maaf pada Doha, janji tidak akan serang Qatar lagi

Pada sidang media di White House, Washington, pada Isnin, Netanyahu memberi jaminan Israel tidak akan sekali lagi melanggar kedaulatan Qatar. - Gambar Reuters
WASHINGTON: Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu memohon maaf kepada Qatar susulan serangan peluru berpandu di Doha awal bulan ini yang mengorbankan seorang warganya, sekali gus mencetuskan kecaman global.
Permohonan maaf itu disampaikan Netanyahu kepada Perdana Menteri Qatar, Sheikh Mohammed bin Abdulrahman bin Jassim Al Thani menerusi panggilan telefon bersama Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump dari White House pada Isnin.
Menurut kenyataan White House, Netanyahu menyatakan kekesalan beliau atas serangan yang menyasarkan pemimpin Hamas di Qatar, namun, secara tidak sengaja membunuh seorang anggota pasukan keselamatan Qatar.
“Beliau turut melahirkan kekesalan kerana ketika menyasarkan kepimpinan Hamas yang sedang mengadakan rundingan tebusan, Israel telah melanggar kedaulatan Qatar. Netanyahu menegaskan Israel tidak akan mengulangi serangan seumpama itu pada masa depan,” kata kenyataan itu lagi.Serangan pertama Israel di Qatar
Serangan pada 9 September lalu menyasarkan pemimpin kanan Hamas yang terlibat dalam rundingan gencatan senjata tajaan AS, namun gagal membunuh sasaran utama.
Sekurang-kurangnya lima anggota Hamas berpangkat rendah dan seorang pegawai keselamatan Qatar terkorban.
Qatar – yang menjadi tuan rumah pangkalan tentera terbesar AS di Timur Tengah, Al Udeid – mengesahkan panggilan tersebut sebagai sebahagian usaha Washington untuk menangani kesan serangan yang menyasarkan kawasan penempatan di Doha, termasuk kediaman delegasi Hamas.
Dalam perkembangan sama, Kementerian Luar Negeri Qatar dalam kenyataannya berkata, Netanyahu memohon maaf atas serangan yang mengorbankan warganya, Badr Al-Dosari, sambil memberi jaminan Israel tidak akan lagi menyasarkan wilayah Qatar.
Komitmen diplomatik
Akaun rasmi Netanyahu di platform X memetik beliau sebagai berkata: “Perdana Menteri, saya ingin anda tahu bahawa Israel kesal salah seorang rakyat anda terbunuh dalam serangan kami. Saya ingin menegaskan Israel menyasarkan Hamas, bukan rakyat Qatar. Saya juga memberi jaminan Israel tidak akan sekali lagi melanggar kedaulatan Qatar.”
Bagaimanapun, Netanyahu dalam kenyataan sama turut menegaskan Israel masih mempunyai “rasa tidak puas hati” terhadap Qatar, termasuk sokongan negara itu kepada Ikhwanul Muslimin serta liputan Al Jazeera yang dikatakan berat sebelah.
Kecaman antarabangsa
Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres mengecam serangan tersebut sebagai “pelanggaran terang-terangan” terhadap kedaulatan Qatar.
Beberapa hari selepas insiden itu, hampir 60 negara Islam berkumpul di Doha bagi menunjukkan solidariti bersama Qatar.
Penganalisis dari Universiti Hamad Bin Khalifa, Sultan Barakat, menyifatkan permohonan maaf Netanyahu itu sebagai langkah penting.
“Qatar sejak awal menegaskan ia tidak dapat meneruskan usaha pengantaraan tanpa permohonan maaf terbuka serta pengesahan Netanyahu bahawa serangan tidak akan diulang. Ia bukan sahaja penting bagi rundingan Hamas-Israel tetapi juga keseluruhan portfolio pengantaraan,” katanya.
White House memaklumkan Sheikh Mohammed “menyambut baik” jaminan yang diberikan Netanyahu dan menekankan kesediaan Qatar untuk terus memainkan peranan dalam keselamatan serta kestabilan serantau. - Agensi

Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami