SUKAN
Oliver Glasner tenang hadapi khabar angin ke Manchester United

Glasner memilih untuk tidak memberi jawapan muktamad mengenai masa depannya, sebaliknya menegaskan tumpuannya tetap bersama Crystal Palace. REUTERS
PENGURUS Crystal Palace, Oliver Glasner, tampil memberi reaksi terhadap spekulasi yang mengaitkan dirinya dengan kerusi panas di Manchester United.
Dalam wawancara bersama Kicker, Glasner mengakui beliau menyedari desas-desus tersebut namun enggan terbawa-bawa dengan gosip yang berlegar.
“Saya mengikuti semua khabar angin itu secara neutral dan tenang. Setakat ini, ia hanyalah khabar angin semata-mata,” katanya.
Glasner menegaskan fokusnya kekal kepada tugas harian bersama skuad Crystal Palace dan menolak untuk memperbesarkan isu perpindahan kerjaya. Ditanya sama ada laporan itu memberi kesan kepadanya, beliau menyifatkannya sebagai sebahagian daripada realiti bola sepak moden.Manchester United kini berada dalam situasi genting selepas prestasi hambar di bawah kendalian Ruben Amorim. Pemilik minoriti kelab, Sir Jim Ratcliffe, difahamkan sudah menyediakan beberapa pilihan pengganti sekiranya prestasi pasukan tidak bertambah baik.
Nama Glasner muncul sebagai antara calon berpotensi, lebih-lebih lagi selepas kejayaannya bersama Palace. Sejak mengambil alih, beliau membawa kelab itu menjulang Piala FA dan Perisai Komuniti, selain mengekalkan rekod konsisten di Liga Perdana.
Kontrak Glasner bersama Palace yang semakin menghampiri tempoh akhir turut menguatkan spekulasi mengenai masa depannya.
Buat masa ini, Glasner memilih untuk tidak memberi jawapan muktamad mengenai masa depannya, sebaliknya menegaskan tumpuannya tetap bersama Crystal Palace.
Namun, dengan kedudukan Amorim yang semakin tertekan di Old Trafford, nama Glasner dijangka terus disebut-sebut sebagai calon utama sekiranya United melakukan perubahan di bangku pengurus.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami