Skip to main content

Dunia

[TERKINI] BNP menang besar dalam pilihan raya Parlimen bersejarah Bangladesh

Bangladesh Nationalist Party Chairperson Tarique Rahman waves as he comes out after casting his vote during the national parliamentary elections in Dhaka, Bangladesh, Thursday, Feb. 12, 2026. (AP Photo/Mahmud Hossain Opu)
Penyokong BNP melaungkan slogan sambil meraikan berita tidak rasmi kemenangan Tarique Rahman di kawasannya dalam pilihan raya umum ke-13 berhampiran pejabat parti di Gulshan, Dhaka, Bangladesh. - Foto REUTERS

DHAKA: Parti Nasionalis Bangladesh (BNP) mencatat kemenangan besar dalam pilihan raya parlimen pada Jumaat, sekali gus memperoleh mandat kukuh untuk membentuk kerajaan baharu selepas tempoh ketidaktentuan politik yang panjang.

Keputusan awal yang disiarkan stesen TV tempatan menunjukkan gabungan dipimpin parti itu memenangi 209 kerusi, bersamaan majoriti dua pertiga dalam Parlimen 300 kerusi.

Advertisement

Pilihan raya pada Khamis merupakan pengundian nasional pertama sejak kebangkitan anak muda pada 2024 yang menumbangkan Perdana Menteri lama, Sheikh Hasina.

Keputusan yang jelas dianggap penting bagi memulihkan kestabilan selepas berbulan-bulan protes anti‑Hasina yang menjejaskan kehidupan harian dan industri utama negara tersebut.

BNP, dipimpin calon perdana menteri utama Tarique Rahman, menyatakan penghargaan kepada rakyat dan meminta penyokong mengadakan doa kesyukuran di masjid seluruh negara, sambil menegaskan tiada perarakan kemenangan akan dianjurkan.

Manifesto parti itu merangkumi bantuan kewangan untuk keluarga miskin, had dua penggal bagi jawatan perdana menteri, pembaharuan ekonomi melalui pelaburan asing serta usaha memerangi rasuah.

Ketua Jamaat-e-Islami, Shafiqur Rahman, mengakui kekalahan selepas gabungan yang dipimpinnya hanya meraih 68 kerusi, dan berjanji untuk memainkan peranan pembangkang secara “positif”.

Parti sekutu belia mereka, National Citizen Party (NCP), pula hanya menang lima kerusi daripada 30 yang ditandingi.

Pilihan raya kali ini dilihat kompetitif, dengan lebih 2,000 calon dan sekurang-kurangnya 50 parti bertanding.

Media tempatan melaporkan peratusan keluar mengundi dijangka melebihi 60 peratus.

Serentak dengan pilihan raya, referendum mengenai pembaharuan perlembagaan turut dijalankan.

Laporan awal The Daily Star menunjukkan 73 peratus pengundi memilih “Ya”, termasuk cadangan penubuhan kerajaan sementara neutral dan had dua penggal untuk perdana menteri.

Bekas Perdana Menteri Sheikh Hasina, kini dalam buangan di India, mengecam pilihan raya itu sebagai “sandiwara terancang” dan menggesa pembatalan keputusan serta pemulihan hak mengundi melalui pilihan raya baharu di bawah kerajaan sementara neutral. 
 

Must Watch Video