Thailand alu-alukan 28.28 juta pelancong asing, Malaysia kekal penyumbang terbesar

Pelancong menaiki bot di sebuah tasik di Kampung Ban Rak Thai, salah satu destinasi pelancongan di wilayah Mae Hong Son, utara Thailand. - Gambar Reuters
BANGKOK: Malaysia terus muncul sebagai penyumbang terbesar ketibaan pelancong asing ke Thailand, dengan lebih empat juta rakyat Malaysia berkunjung ke negara itu setakat 16 Nov tahun ini.
Ringkasan AI
- Malaysia menyumbang lebih empat juta pelancong asing ke Thailand sehingga 16 Nov, menjadikan negara ini pasaran terbesar bagi Thailand.
- Ketibaan pelancong asing tahun ini mencapai 28.28 juta, dengan Malaysia di tempat pertama, diikuti oleh China, India, Rusia, dan Korea Selatan.
- Kementerian Pelancongan dan Sukan Thailand menjangka peningkatan ketibaan pelancong minggu hadapan disokong oleh inisiatif Ease of Travelling dan sasaran hasil pelancongan 2.8 trilion baht menjelang 2026.
"Secara keseluruhan, ketibaan pelancong asing tahun ini telah menjana kira-kira 1.31 trilion baht (100 baht = RM12.85) dalam hasil pelancongan," katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Natthriya berkata pasaran jarak dekat terus menunjukkan prestasi kukuh sepanjang minggu lalu, diterajui Malaysia yang kini melepasi paras empat juta pelawat.
"Bilangan pelancong Korea Selatan turut meningkat dengan ketara apabila percutian musim sejuk, melonjak lebih 16 peratus berbanding minggu sebelumnya.
"Korea Selatan kini berada di kedudukan kelima pasaran sumber, berbanding tempat kelapan sebelum ini," katanya.
Beliau berkata jumlah pelancong dijangka terus meningkat minggu hadapan, didorong cuti umum berturut-turut di Jepun serta kemuncak musim pelancongan bagi pasaran jarak dekat dan jauh.
Natthriya juga berkata bahawa langkah kerajaan di bawah inisiatif Ease of Travelling -- termasuk pengecualian borang ketibaan TM6 dan usaha menggalakkan syarikat penerbangan menambah kekerapan penerbangan akan terus menyokong kemasukan pelancong.
Khamis lalu, Kementerian Pelancongan dan Sukan turut mengumumkan sasaran untuk menjana 2.8 trilion baht dalam hasil pelancongan menjelang 2026 menerusi pelancaran simbol "Trusted Thailand" yang bertujuan meningkatkan keyakinan pelancong.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


