BANGKOK: Pelonggaran undang-undang berkaitan kanabis oleh kerajaan Thailand memberi satu makna buat Jiratti Kuttanam, iaitu bekalan produk yang lebih murah untuk digunakan dalam mengurangkan kesakitan dan penderitaannya sepanjang menjalani rawatan kanser payu dara.

Thailand menjadi negara Asia pertama yang membenarkan penanaman dan pengambilan marijuana secara persendirian - satu langkah yang pihak berkuasa sifatkan bakal melonjakkan aktiviti agrikultur apabila golongan petani boleh menjana pendapatan baharu.

Jiratti, 42, berkata kepada Reuters, dia dan para pesakit lain juga merasakan manfaatnya semakin hampir.

Ganja perubatan sudah ‘halal’ di negara itu sejak tahun 2018. Namun, sebelum undang-undang berubah, dia terpaksa bergantung pada produk import yang mahal. Itu membuatkan sesetengah pesakit mendekati pengedar di pasaran gelap.

Kanabis yang diimport berharga 700 Baht (RM87) per gram, namun kini harga itu sudah berkurangan hingga separuh, jelas Jiratti.

"Saya menggunakan ganja supaya saya tidak perlu merasa sakit,” katanya sambil meracik dan merebus daun ganja untuk dijadikan minuman teh, sekali gus menjadikan unit apartmen satu biliknya itu memiliki bauan yang khas.

Dia telah didiagnosis menghidap kanser payu dara pada lima tahun lalu. Dua tahun kemudian dia mula menggunakan minyak kanabis dan produk lain bagi mengurangkan kesakitannya, yang sering menyebabkannya muntah-muntah, kelesuan dan keresahan akibat menjalani kemoterapi.

Tanaman ganja tempatan yang dibenarkan kerajaan bermakna pesakit sepertinya boleh mendapat bekalan yang lebih dipercayai, bergantung kepada pengetahuan seseorang pesakit tentang cara menggunakannya.

"Saya berpendapat, anda perlukan pendidikan. Anda perlu belajar cara menggunakannya dengan betul. Ia boleh membawa kesan buruk. Ia juga boleh menjadi bahaya," ujarnya.

Pelonggaran sekatan di Thailand bukan bermakna ia bebas digunakan oleh semua orang dan di mana sahaja. Minggu lalu, undang undang baharu dikuat kuasa iaitu larangan menghisap ganja dan penjualannya kepada mereka yang di usia bawah 20 tahun, wanita hamil dan juga ibu yang sedang menyusukan anak.