BANGKOK: Thailand sedang membuat persediaan termasuk mengadakan saringan COVID-19 yang lebih ketat di sempadannya, sebagai persediaan negara itu menerima kepulangan rakyatnya yang sebelum ini terkandas di Malaysia.

Pada masa yang sama, pihak penguatkuasaannya memperketatkan lagi rondaan di sempadan Thailand-Malaysia, bagi mengelakkan kemasukan secara haram dan mengelakkan diri daripada kuarantin mandatori.

Ini berikutan pengumuman Jabatan Imigresen Malaysia, yang kesemua warga asing dengan pas lawatan yang telah tamat tempoh perlu meninggalkan negara itu, sebelum atau pada 21 April atau berhadapan dengan tindakan.

Konsul Jeneral Thailand ke Kota Bharu Mongkol Sinsomboon berkata, rakyat Thailand dibenarkan untuk memasuki negara itu melalui empat pintu sempadan iaitu, Sungai Kolok (Narathiwat), Betong (Yala), Sadao (Songkhla) dan Wang Prachan (Satun).

Dalam usaha mengekang penularan COVID-19 beliau berkata, semua mereka yang pulang perlu menjalani saringan dan kuarantin 14 hari di fasiliti kuarantin kerajaan.

"Kami tidak pasti berapa ramai yang akan pulang (berikutan pengumuman Jabatan Imigresen Malaysia), ia agak sukar untuk anggarkan.

"Bagaimanapun, dianggarkan kira-kira 30,000 warga Thailand termasuk mereka bekerja secara haram, berada di Malaysia," katanya kepada Bernama.

Sejumlah 230 rakyat Thailand pulang menerusi pusat pemeriksaan di sempadan Thailand-Malaysia, semalam.

Media tempatan melaporkan Perdana Menteri Prayuth Chan o-cha mengarahkan agensi keselamatan di bahagian selatan untuk membantu rakyat Thailand yang terkandas di Malaysia untuk pulang ke negara itu dan mematuhi langkah-langkah pencegahan COVID-19.

Sementara itu Gabenor Songkhla Jaruwat Kliangklao berkata, sejumlah 150 rakyat Thailand yang mendaftarkan diri, telah dibenarkan memasuki ke negara itu menerusi pusat pemeriksaan sempadan Sadao.

"Kami sedang menyediakan pusat kuarantin untuk mereka yang pulang ini. Kami akan meningkatkan jumlahnya jika perlu," katanya ketika dihubungi.

-- BERNAMA