Thailand-Kemboja capai gencatan senjata, 18 tentera akan dibebaskan

Kerajaan Thailand berkata, persetujuan itu dibuat dengan mengambil kira kesan konflik terhadap ekonomi negara dan imej negara itu di peringkat antarabangsa. - Gambar Army Military Force
BANGKOK: Thailand akan membebaskan anggota tentera Kemboja yang ditahan selepas keadaan kembali aman, susulan persetujuan gencatan senjata antara kedua-dua negara selepas beberapa hari pertempuran di kawasan sempadan.
Gencatan senjata itu dicapai hasil mesyuarat Jawatankuasa Sempadan Am (GBC) antara Thailand dan Kemboja yang berlangsung di wilayah Chanthaburi, Thailand.
Perjanjian itu berkuat kuasa pada tengah hari waktu tempatan dan akan dipantau selama 72 jam oleh kedua-dua pihak.
Kerajaan Thailand berkata, persetujuan itu dibuat dengan mengambil kira kesan konflik terhadap ekonomi negara dan imej negara itu di peringkat antarabangsa.
Menurut Menteri Pertahanan Thailand, Jeneral Nattaphon Narkphanit, sebaik sahaja keamanan dipulihkan dan orang awam dapat pulang ke rumah dengan selamat, Thailand akan membebaskan 18 anggota tentera Kemboja yang ditahan.
Thailand turut berharap pihak berkuasa Kemboja membenarkan rakyat Thailand yang masih berada di negara itu pulang dengan selamat.
Menurut Thailand, tempoh pemantauan 72 jam itu penting untuk menguji kepercayaan bersama.
Thailand berkata, pihaknya akan terus memantau pelaksanaan gencatan senjata itu, namun kekal bersedia mempertahankan diri sekiranya pertempuran tercetus semula. - Agensi
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


