DUNIA
Thailand, Kemboja setuju 11 resolusi bagi redakan ketegangan sempadan

Kedua-dua pihak bersetuju untuk mengekalkan komunikasi berterusan antara unit sempadan bagi menyelesaikan isu secara aman.
BANGKOK: Thailand dan Kemboja mencapai persetujuan terhadap 11 resolusi pada Mesyuarat Luar Biasa Jawatankuasa Sempadan Serantau (RBC) di Si Saket, timur laut Thailand pada Rabu bagi meredakan ketegangan serta mengekalkan keamanan di sepanjang sempadan bersama.
Mesyuarat itu dipengerusikan bersama oleh Komander Tentera Wilayah Kedua Thailand Leftenan Jeneral Boonsin Padklang dan Komander Tentera Wilayah Keempat Kemboja Leftenan Jeneral Pov Heng.
"Mesyuarat ini bertujuan untuk menggalakkan perbincangan dan meningkatkan keyakinan bagi meredakan ketegangan serta mengekalkan keamanan di sempadan melalui semua mekanisme yang perlu untuk menyelesaikan perbezaan secara aman serta mengelakkan pertembungan dalam semangat kejiranan baik, persahabatan dan solidariti," menurut kenyataan bersama yang dikeluarkan selepas mesyuarat RBC itu.
Thailand dan Kemboja menegaskan komitmen tidak berbelah bahagi terhadap pelaksanaan keputusan yang dibuat pada Mesyuarat Khas 28 Julai dan Mesyuarat Luar Biasa Jawatankuasa Sempadan Am (GBC) pada 7 Ogos lalu."Kedua-dua pihak bersetuju untuk mengekalkan komunikasi berterusan antara unit sempadan bagi menyelesaikan isu secara aman serta mengelakkan pertembungan, sambil menekankan keperluan mempertingkatkan dialog untuk membina keyakinan dan memupuk semangat kejiranan baik.
"Thailand dan Kemboja bersetuju untuk tidak memperluas pertikaian atau membenarkan tindakan provokatif oleh anggota tentera atau orang awam, termasuk ucapan berunsur hasutan dan aktiviti ketenteraan rentas sempadan, seperti yang digariskan dalam perjanjian gencatan senjata berkuat kuasa pada 28 Julai," menurut kenyataan itu.
Kedua-dua pihak juga berikrar untuk tidak menyebarkan maklumat palsu atau berita tidak benar bagi meredakan ketegangan, mengurangkan sentimen negatif awam dan mencari langkah praktikal untuk mewujudkan suasana kondusif bagi dialog aman.
Mereka turut menegaskan kepentingan pelucutan periuk api kemanusiaan dan bersetuju untuk merujuk perkara itu ke Mesyuarat GBC yang akan datang.
Selain itu, kedua-dua negara bersetuju secara prinsip untuk menubuhkan Kumpulan Penyelaras (CG) bagi mengukuhkan komunikasi antara panglima, kumpulan perhubungan serta unit sempadan dengan tujuan menyelesaikan isu secara aman.
"Kedua-dua pihak menegaskan kesediaan untuk bekerjasama dalam membanteras serta mencegah jenayah rentas sempadan termasuk operasi pusat panggilan (penipuan dalam talian), pengedaran dadah, pemerdagangan manusia, penyeludupan senjata dan lain-lain aktiviti jenayah rentas sempadan melalui kerjasama konkrit dan praktikal di bawah rangka kerja sedia ada," menurut kenyataan itu lagi.
Isu-isu tersebut yang berada di bawah mandat GBC akan dibincangkan dalam mesyuaratnya akan datang.
Thailand dan Kemboja menekankan momentum positif serta kemajuan hasil pertemuan ini dalam mengukuhkan kerjasama merentas semua sektor dengan matlamat bersama untuk kembali kepada keadaan normal.
Kedua-dua negara itu berusaha mencapai keamanan berkekalan di sepanjang sempadan sejauh 817 kilometer yang sekian lama menjadi punca pertikaian. Ketegangan terbaru meletus kepada pertembungan tentera di kawasan sempadan Oddar Meanchey dan Preah Vihear pada 24 Julai lalu.
Kedua-dua kerajaan kemudiannya bersetuju meredakan keadaan yang turut dipantau rapat oleh Malaysia selaku pengerusi ASEAN, serta Amerika Syarikat dan China.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami