Pejabat Antipenggubahan Wang Haram Thailand (AMLO) telah mengesan 10 akaun bank disyaki digunakan untuk membiayai serangan bom di ibu negara ini yang mengorbankan 20 orang termasuk lima rakyat Malaysia, 17 Ogos lepas.

Ketua Setiausaha AMLO, kolonel Polis Sihanart Prayoonrat berkata lapan daripada akaun itu milik Wanna Suansan, seorang wanita warga Thailand dan satu lagi milik suaminya Emrah Davutoglu, seorang warga Turki.

Satu lagi akaun ialah milik Yusufu Mieraili yang ditahan dekat sempadan Thailand-Kemboja akhir bulan lepas, katanya pada sidang media, di sini hari ini.

Mereka juga dipercayai menggunakan satu lagi kaedah pemindahan wang seperti Western Union, katanya.

Beliau berkata transaksi membabitkan kira-kira satu juta baht dikesan dari Februari tahun lepas hingga 27 Ogos tahun ini.

Pada keseluruhan, AMLO mengesan 13 orang disyaki terlibat dalam transaksi itu, katanya.

Sihanart berkata wang juga dimasukkan ke dalam akaun dari sebarang laut oleh warga asing dan berdasarkan siasatan dan bukti seperti resit jualan.

Menurutnya kebanyakannya dipercayai dibelanjakan untuk membeli bahan letupan dan peralatan untuk membuat bom sementara sesetengah digunakan untuk perbelanjaan sara hidup.

Sementara itu, jurucakap polis Thailand, Leftenan Jeneral Prawuth Thavornsiri berkata pergerakan beberapa suspek serangan bom itu dilaporkan dekat sempadan Thailand.

"Sumber-sumber yang boleh dipercayai memberitahu pihak berkuasa Thailand bahawa ada beberapa suspek tidak jauh dari sempadan dalam kawasan Thailand untuk cuba melarikan diri, katanya kepada media di Ibu Pejabat Polis Diraja Thailand di sini.

Bagaimanapun, beliau tidak menyatakan kawasan sempadan yang suspek merancang untuk cuba gunakan bagi melarikan diri dari Thailand.

Prawuth juga menemui Duta Bangladesh di Thailand, Saida Muna Tasneem hari ini.

Saida datang ke ibu pejabat polis untuk memberi maklumat tambahan mengenai individu yang dikatakan menjadi dalang serangan itu, Abudureheman Abdusataer yang lari ke Bangladesh sehari sebelum serangan bom berlaku.

Prauwuth berkata Saida memberitahunya bahawa kedutaan Bangladesh di Bangkok telah mengeluarkan visa pelancong kepada Abudureheman yang meninggalkan Thailand pada 16 Ogos dan berada di Bangaladesh selama 14 hari.

Beliau berkata Abudureheman tidak menginap di hotel yang disebutkan dalam jadual perjalanan yang dirancang dan dia transit di New Delhi (India) dalam perjalanan yang dirancang ke China pada 30 Ogos.
Bagaimanapun, dia tidak pergi ke China, kata Prawuth.

Beliau berkata pihak berkuasa Thailand hanya memohon kerjasama daripada kerajaan Bangladesh pada 2 Sept, tiga hari selepas suspek itu meninggalkan Bangladesh.

Prawuth berkata pihak berkuasa Bangladesh sedang menyiasat di mana di berada semasa di negara itu dan siapa yang dia temui.