Thailand pertimbang sekat eksport bahan api ke Kemboja ketika konflik sempadan memuncak

Sebuah rumah alami kerosakan selepas apa yang disifatkan tentera Thailand sebagai serangan artileri oleh Kemboja di wilayah Sisaket, Thailand. - Foto AP
BANGKOK: Tentera Thailand sedang mempertimbangkan untuk menyekat eksport bahan api ke Kemboja susulan pertempuran yang semakin memuncak di kawasan sempadan, hanya dua hari selepas Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, mengumumkan persetujuan gencatan senjata baharu antara kedua-dua negara.
Ringkasan AI
- Tentera Thailand mempertimbangkan menyekat eksport bahan api ke Kemboja susulan pertempuran di sempadan, berikutan gencatan senjata AS-Kemboja.
- Thailand hentikan eksport minyak ke Kemboja sejak Jun lalu; pertempuran sejak Isnin lalu telan nyawa 16 askar dan 10 orang awam Thailand.
- Thailand memusnahkan jambatan dan kawal pantai selepas serangan dari Kemboja, sementara AS mahu kedua-dua negara patuhi gencatan senjata demi keamanan.
Kementerian Tenaga Thailand memaklumkan bahawa eksport minyak ke Kemboja telah dihentikan sejak Jun lalu.
Pada 2024, Thailand mengeksport lebih 2.2 bilion liter bahan api ke negara jiran itu.
Pertempuran yang tercetus semula sejak Isnin lalu telah mengorbankan sekurang-kurangnya 16 askar dan 10 orang awam Thailand, manakala lebih 258,000 penduduk terpaksa berpindah.
Kemboja pula melaporkan 11 kematian, 74 cedera dan hampir 395,000 orang dipindahkan.
Thailand turut menguatkuasakan perintah berkurung di wilayah Trat selepas serangan roket dari Kemboja membunuh dua orang pada Ahad.
Tentera Thailand juga dilaporkan memusnahkan sebuah jambatan yang digunakan Kemboja untuk menghantar senjata berat ke kawasan sempadan dan melancarkan serangan ke atas artileri di wilayah pesisir Koh Kong.
Walaupun Presiden Trump mengumumkan bahawa kedua-dua pihak telah bersetuju untuk menghentikan semua tembakan, Perdana Menteri sementara Thailand, Anutin Charnvirakul, menegaskan bahawa negara itu akan terus mempertahankan wilayahnya sehingga tiada lagi ancaman terhadap rakyat dan tanah air.
Jurucakap White House menyatakan bahawa Trump menjangkakan semua pihak mematuhi komitmen masing-masing dan akan memastikan pihak yang melanggar dipertanggungjawabkan demi menghentikan pertumpahan darah dan menjamin keamanan berkekalan.
Thailand menyatakan kesediaan untuk mencari penyelesaian diplomatik, namun menegaskan bahawa Kemboja perlu menghentikan permusuhan terlebih dahulu sebelum rundingan boleh dimulakan.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


