DUNIA
Thailand tegaskan kesediaan bekerjasama dengan Kemboja demi keamanan sempadan

Thailand berikrar untuk meningkatkan kerjasama dengan Kemboja melalui Jawatankuasa Sempadan Serantau (RBC) dan Jawatankuasa Sempadan Am (GBC). - Foto hiasan
BANGKOK: Thailand berikrar untuk meningkatkan kerjasama dengan Kemboja melalui Jawatankuasa Sempadan Serantau (RBC) dan Jawatankuasa Sempadan Am (GBC), sekali gus menegaskan komitmennya memelihara keamanan dan kestabilan di sepanjang sempadan bersama.
Ringkasan AI
- Thailand berikrar meningkatkan kerjasama dengan Kemboja melalui RBC dan GBC bagi memelihara keamanan serta kestabilan di sempadan.
- Timbalan Jurucakap Tentera Laut Diraja Thailand, Laksamana Muda Parach Rattanachiayaphan, menegaskan komitmen menyelesaikan isu secara aman mengikut undang-undang antarabangsa.
- Perbincangan turut menyentuh pembersihan periuk api dan membanteras penipuan dalam talian, dengan harapan Kemboja akan memberi kerjasama pada mesyuarat akan datang.
Komander Pertahanan Sempadan Chanthaburi dan Trat, Laksamana Madya Apichat Sapprasert, mengetuai delegasi Thailand, manakala Kemboja diketuai Komander Wilayah Ketenteraan Ketiga, Mejar Jeneral Ouy Heang.
Parach berkata perbincangan itu menekankan komitmen Thailand untuk menyelesaikan isu secara aman mengikut prinsip antarabangsa, di samping mengemukakan cadangan mengenai pembersihan periuk api serta usaha membanteras penipuan dalam talian.
"Walaupun pihak Kemboja belum memberikan maklum balas konkrit terhadap cadangan ini, Thailand tetap berharap Kemboja akan menunjukkan keprihatinan dalam mesyuarat akan datang, khususnya dalam menyokong operasi pembersihan periuk api di sempadan dan mengambil tindakan bersama membanteras kegiatan penipuan," katanya.
Dalam mesyuarat itu, kedua-dua pihak turut menandatangani Minit Mesyuarat Luar Biasa RBC antara Komando Pertahanan Sempadan Chanthaburi dan Trat Thailand dengan Wilayah Ketenteraan 3 Kemboja.
Thailand dan Kemboja juga berikrar untuk melaksanakan hasil Mesyuarat Luar Biasa GBC yang diadakan di Kuala Lumpur pada 7 Ogos, katanya.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami