Skip to main content

Dunia

Tiada kejanggalan dikesan di loji nuklear Aomori, Miyagi susulan gempa bumi kuat di Jepun

61692877599_FukushimaDaiichinu.jpg
Loji Fukushima Daiichi (foto) sebelum ini mengalami kerosakan teruk akibat gempa bumi dan tsunami pada Mac 2011, yang mencetuskan kebocoran radiasi besar-besaran serta memaksa pemindahan puluhan ribu penduduk. -Gambar fail

TOKYO: Tiada sebarang kejanggalan dilaporkan setakat ini di loji-loji kuasa nuklear di wilayah Aomori dan Miyagi susulan gempa bumi kuat bermagnitud 7.5 yang melanda utara Jepun, petang ini.

Pengendali loji kuasa nuklear Fukushima Daini turut mengesahkan tiada sebarang kelainan dikesan di fasiliti berkenaan.

Advertisement

Namun begitu, pemeriksaan lanjut masih diteruskan di Loji Kuasa Nuklear Fukushima Daiichi bagi memastikan keselamatan struktur serta sistem sokongan kritikal.

Loji Fukushima Daiichi sebelum ini mengalami kerosakan teruk akibat gempa bumi dan tsunami pada Mac 2011, yang mencetuskan kebocoran radiasi besar-besaran serta memaksa pemindahan puluhan ribu penduduk.

Usaha pembersihan dan pengurusan sisa radioaktif di kawasan berkenaan masih diteruskan sehingga kini.

Dalam pada itu, pihak berkuasa Jepun kekal berada dalam keadaan berjaga-jaga memandangkan amaran tsunami sehingga tiga meter masih berkuat kuasa bagi kawasan pesisir pantai timur laut negara itu.

Agensi Meteorologi Jepun (JMA) dalam pada itu memberi amaran kemungkinan gelombang tsunami lebih besar masih wujud selepas ketibaan gelombang pertama di pesisir pantai utara negara itu, petang ini.

Dalam sidang media khas pada jam 5.12 petang waktu tempatan (4.12 petang waktu Malaysia), agensi berkenaan menegaskan amaran tsunami di beberapa kawasan di wilayah Hokkaido dan Iwate masih berkuat kuasa sepenuhnya.

Pihak berkuasa mengingatkan penduduk supaya tidak leka dan terus berada di kawasan selamat atau tempat tinggi kerana gelombang susulan yang lebih dahsyat boleh berlaku dalam tempoh beberapa jam selepas gelombang pertama dikesan.

Setakat ini, pemantauan rapi masih diteruskan di sepanjang pesisir pantai Sanriku bagi mengesan sebarang perubahan ketara paras air laut susulan gempa bumi bermagnitud 7.5 yang melanda wilayah berkenaan.

Must Watch Video