Tiada konflik ketenteraan dijangka berlaku berhubung Greenland, kata pegawai White House

Stephen Miller berkata, tiada sesiapa yang akan menentang AS secara ketenteraan berhubung masa depan Greenland. - Reuters
WASHINGTON: Seorang pegawai kanan White House pada Isnin menyifatkan tuntutan Amerika Syarikat (AS) untuk menguasai Greenland sebagai pendirian rasmi kerajaan AS, sambil menolak kemungkinan berlakunya konflik ketenteraan berhubung pulau Artik itu, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Ketika ditanya CNN sama ada Washington akan menolak penggunaan kekerasan untuk mengambil alih Greenland, Timbalan Ketua Kakitangan Presiden AS Donald Trump, Stephen Miller berkata, tiada sesiapa yang akan menentang AS secara ketenteraan berhubung masa depan Greenland.
Beliau berkata pulau itu sepatutnya menjadi sebahagian daripada AS, sambil menambah bahawa Trump telah menjelaskan pendiriannya sejak awal tempoh pentadbirannya hampir setahun lalu. Miller berhujah bahawa sebagai kuasa ketenteraan utama NATO, AS memerlukan penguasaan Greenland bagi menjamin keselamatan rantau Artik.
Beliau turut mempersoalkan kedaulatan Denmark ke atas wilayah itu, dengan bertanya atas dasar undang-undang apa Greenland milik Denmark dan mengapa pulau itu harus kekal sebagai "tanah jajahan Denmark".
Greenland merupakan sebahagian daripada Kerajaan Denmark, namun mempunyai autonomi yang luas dan bukan anggota Kesatuan Eropah. Pulau itu mempunyai kepentingan strategik kerana kekayaan sumber bahan mentahnya serta peranannya sebagai pangkalan kawalan ketenteraan di rantau Artik.
Trump berulang kali menyatakan bahawa AS perlu menguasai Greenland atas alasan keselamatan negara, pendirian yang diulangi beliau pada hujung minggu lalu. Pada Sabtu, satu hantaran media sosial oleh bekas penasihat kerajaan Katie Miller, isteri Stephen Miller, memaparkan peta Greenland berwarna bendera AS disertai perkataan SOON.
Denmark, negara jiran Nordiknya, United Kingdom, Jerman serta Kesatuan Eropah pada Isnin menolak tuntutan AS itu, dengan Perdana Menteri Denmark Mette Frederiksen berkata ancaman Trump perlu dipandang serius dan sekiranya AS memilih untuk menyerang sebuah negara NATO, semuanya akan terhenti.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


