MADRID: Seorang lelaki di Sepanyol yang awalnya disyaki menghidap penyakit Marburg diuji negatif  dan tidak mempunyai virus itu.

Sebelum itu, pihak berkuasa kesihatan di Valencia berkata, mereka telah mengesan kes pertama disyaki penyakit berjangkit di negara itu yang menyebabkan lebih 200 orang dikuarantin di Guinea Khatulistiwa.

Menurut seorang pegawai kesihatan, lelaki berusia 34 tahun itu yang baru-baru ini berada di Guinea Khatulistiwa telah diberikan pelepasan, tetapi akan diuji semula dalam beberapa minggu akan datang.

Dia telah dipindahkan dari hospital swasta ke unit pengasingan di Hospital La Fe di Valencia semasa ujian dijalankan.

Tiga kakitangan kesihatan yang merawat lelaki itu juga diasingkan sebagai langkah berjaga-jaga.

Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), virus Marburg boleh menyebabkan kadar kematian sehingga 88 peratus.

Tiada vaksin atau rawatan antivirus yang diluluskan untuk merawatnya.

Guinea Khatulistiwa telah mengkuarantin lebih 200 orang dan mengehadkan pergerakan pada 13 Februari di wilayah Kie-ntem, tempat demam berdarah itu pertama kali dikesan.

Menurut WHO, negara kecil Afrika Tengah itu setakat ini melaporkan sembilan kematian serta 16 kes yang disyaki penyakit itu dengan gejala termasuk demam, keletihan, muntah berlumuran darah dan cirit-birit.

Pihak berkuasa Cameroon mengesan dua kes yang disyaki penyakit Marburg di Olamze, sebuah komuniti di sempadan dengan Guinea Khatulistiwa, pada 13 Februari lalu.