ST LOUIS: Tiga terbunuh dan beberapa yang lain cedera selepas seorang lelaki bersenjata melepaskan tembakan di sebuah sekolah menengah di St. Louis, Amerika Syarikat pada Isnin.

Suspek kemudian ditembak mati oleh polis yang bergegas ke lokasi iaitu sekolah menengah visual dan seni persembahan.

Ketua Polis St. Louis, Mike Sack berkata, seorang wanita dan remaja perempuan terbunuh dalam insiden itu.

Mangsa ketiga maut selepas dibawa ke hospital akibat kecederaan parah.

Sack berkata polis tiba di sekolah dalam tempoh beberapa minit selepas menerima laporan berlaku tembakan di situ.

"Pada kira-kira jam 9.10 pagi, kami menerima panggilan mengenai insiden di sebuah sekolah di Kings Highway dan Arsenal. Anggota polis tiba di lokasi beberapa minit kemudian dan mereka segera masuk ke sekolah.

"Ketika itu kanak-kanak lari menyelamatkan diri keluar dari bangunan, mereka memaklumkan terdapat seorang lelaki bersenjata masuk ke dalam bangunan.

"Anggota polis segera menjejaki penembak itu di kawasan sekolah dan insiden berbalas tembakan berlaku," katanya.

Menurut Sack, suspek berusia 19 tahun dikenali sebagai Orlando Harris.

Harris, tamat sekolah berkenaan pada tahun lepas dan tidak mempunyai motif untuk membunuh berdasarkan siasatan awal.

Insiden tembakan pada Isnin adalah yang ke-40 berlaku tahun ini di sekolah di Amerika Syarikat, sama ada menyebabkan nyawa melayang atau mendatangkan kecederaan, berdasarkan kepada rekod sejak tahun 2018 oleh data Biro Pendidikan.

Serangan terburuk pernah berlaku termasuk pembunuhan di sekolah di Uvalde, Texas pada Mei lepas apabila 19 kanak-kanak dan dua guru meninggal dunia ditembak seorang remaja.

Tembakan di St Louis pada Isnin berlaku serentak dengan insiden seorang remaja lelaki berusia 16 tahun mengaku bersalah di Michigan kerana menembak mati empat rakan sekelasnya tahun lalu menggunakan senjata yang dibeli sebagai hadiah daripada bapanya.