JACKSONVILLE, FLORIDA: Seorang lelaki kulit putih menembak mati tiga orang di dalam sebuah kedai runcit Dollar General di sini, pada Sabtu dalam sebuah serangan di kawasan yang sebahagian besar dihuni oleh penduduk kulit hitam, yang disifatkan oleh polis tempatan sebagai 'bermotif perkauman.'

Penembak tersebut turut menembak dirinya sendiri.

"Penembak itu sangat membenci orang kulit hitam," pegawai polis T.K. Waters dalam sidang media.

"Tidak ada bukti sama sekali bahawa penembak itu adalah sebahagian daripada kumpulan yang lebih besar."

Menurut Waters, penembak tersebut berusia dalam lingkungan 20-an.

Susulan kejadian itu, polis meningkatkan kawalan keselamatan di kawasan berdekatan dengan Universiti Edward Waters, sebuah universiti kecil bersejarah bagi masyarakat kulit hitam.

Datuk Bandar Donna Deegan memberitahu, tragedi tembakan ini sebagai perkara yang tidak dapat diterima.

"Satu tembakam sudah terlalu banyak, tetapi penembakan beramai-ramai seperti ini sesuatu yang amat sukar untuk diterima,” katanya seperti dilaporkan portal berita antarabangsa.

Pada masa ini, penuntut-penuntut di Universiti Edward Waters diarahkan untuk tinggal di asrama mereka, kata kenyataan dari pihak universiti tersebut.

Tiada pelajar atau fakulti yang dipercayai terlibat dalam tragedi itu, kata pihak universiti. - AP