DUNIA
Timor-Leste akan perkukuh hubungan global ASEAN - Timbalan menteri

Rangel berkata keanggotaan ASEAN memberi peluang kepada negaranya untuk menghubungkan rantau ini dengan rakan baharu serta perspektif yang lebih luas. - Gambar/ Bernama
DILI (Timor-Leste): Kemasukan Timor-Leste ke dalam ASEAN akan memperluas blok itu serta memperkukuh jangkauan globalnya, kata Timbalan Menteri Hal Ehwal ASEAN negara itu, Milena Rangel.
Ringkasan AI
- Kemasukan Timor-Leste ke dalam ASEAN akan memperluas blok serantau dan memperkukuh jangkauan global, di samping memberi peluang kepada negara itu untuk menghubungkan ASEAN dengan rakan baharu serta kumpulan g7 negara pascakonflik.
- Keanggotaan ASEAN mendorong Timor-Leste merombak institusi, melabur dalam modal insan dan memperkukuh dasar, dengan tumpuan kepada pembangunan sektor pertanian, perikanan, pelancongan dan tenaga boleh diperbaharui, serta memanfaatkan sokongan Malaysia dalam latihan vokasional.
- Timor-Leste kini bersiap sedia untuk integrasi serantau yang lebih mendalam dan akan diterima secara rasmi sebagai anggota ke-11 ASEAN pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 di Kuala Lumpur di bawah kepengerusian Malaysia.
"Kami mahu menyumbang melalui pengalaman perdamaian, belia kami dan rangkaian global yang ada," katanya kepada Bernama ketika ditemui di pejabatnya di Dili.
Beliau berkata bahawa Timor-Leste boleh berperanan sebagai jambatan kepada kumpulan g7+ yang terdiri daripada negara pascakonflik.
Rangel turut memuji sokongan konsisten Malaysia sejak kemerdekaan Timor-Leste pada 2002.
"Malaysia telah memainkan peranan penting sejak awal.
"Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan merupakan penyokong kuat keanggotaan kami dalam ASEAN.
"Menyertai ASEAN telah menjadi transformasi besar -- ia mendorong kami untuk merombak institusi, melabur dalam modal insan dan memperkukuh dasar. Kerja sebenar bermula selepas penyertaan ini," katanya.
Pelan pembangunan negara itu mengenal pasti sektor pertanian, perikanan, pelancongan dan tenaga boleh diperbaharui sebagai bidang keutamaan untuk pelaburan.
"Infrastruktur kami masih dalam pembangunan, tetapi di situlah terletaknya peluang. Aset semula jadi kami termasuk kopi boleh menawarkan peluang unik," katanya.
Dengan lebih 60 peratus daripada penduduk Timor-Leste berusia bawah 35 tahun, pembangunan modal insan menjadi keutamaan.
Rangel berkata sokongan Malaysia dalam latihan vokasional di bawah Program Kerjasama Teknikal Malaysia (MTCP) telah membantu membangunkan kemahiran belia.
"Dengan keanggotaan ASEAN, kami berharap dapat memperluaskan peluang ini," katanya.
Rangel turut menekankan pengalaman perdamaian negaranya dengan Indonesia dan keupayaannya untuk menghubungkan ASEAN dengan komuniti baharu.
"Kami mahu menyumbang kepada sebuah rantau yang sudah aman dan menantikan kehadiran media serta rakan kerjasama selepas Sidang Kemuncak ASEAN di Kuala Lumpur," katanya.
Timor-Leste, sebuah negara dengan 1.4 juta penduduk, kaya dengan sumber minyak, gas dan kopi.
Negara itu kini sedang mempelbagaikan ekonominya serta bersiap sedia untuk integrasi serantau yang lebih mendalam.
Negara itu akan diterima secara rasmi sebagai anggota ke-11 ASEAN pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 di Kuala Lumpur di bawah kepengerusian Malaysia.
Bernama kini dalam misi liputan khas selama lapan hari di Timor-Leste bermula 15 Sept sebagai agensi media rasmi dan penyelaras bagi Pusat Media Antarabangsa di bawah pengerusi ASEAN 2025 Malaysia.
Temu bual itu dikendalikan oleh penyampai Bernama TV merangkap Ketua Program Gerard Ratnam dan akan disiarkan bersempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-47.
-- BERNAMA

Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami