TOKYO: Kerajaan Metropolitan Tokyo menggalakkan pekerja pejabat, khususnya lelaki, memakai pakaian lebih santai termasuk seluar pendek ke tempat kerja bagi menghadapi cuaca panas melampau yang melanda Jepun pada musim panas ini.
Namun, langkah itu mencetuskan pelbagai reaksi, termasuk kritikan daripada sebahagian wanita yang menyifatkannya sebagai bentuk “gangguan bulu kaki” atau 'sunehara'.
Inisiatif dikenali sebagai “Tokyo Cool Biz” diperkenalkan oleh Gabenor Tokyo, Yuriko Koike, pada April lalu sebagai usaha memperluas kempen penjimatan tenaga dan penyesuaian terhadap cuaca panas yang telah lama diamalkan di Jepun.
Melalui dasar itu, pekerja digalakkan mengetepikan pemakaian formal seperti sut dan tali leher, sebaliknya memilih pakaian yang lebih ringan dan selesa termasuk kemeja-T, kasut sukan serta seluar pendek.
Pegawai alam sekitar Kerajaan Metropolitan Tokyo, Noboru Watanabe, berkata tujuan utama dasar tersebut adalah untuk memberi lebih banyak pilihan kepada pekerja ketika berdepan suhu yang semakin tinggi.
“Kami mahu memberi lebih banyak pilihan kepada orang ramai ketika cuaca panas melampau, bukannya menentukan apa yang perlu dipakai. Tiada masalah selagi pakaian itu tidak menyinggung perasaan orang lain,” katanya.
Walaupun mendapat sambutan positif daripada sesetengah pekerja, dasar itu turut mengundang perdebatan mengenai kesesuaian pemakaian seluar pendek di pejabat.
Tinjauan yang dijalankan oleh Gorilla Clinic pada Jun mendapati 53.5 peratus responden menentang pemakaian seluar pendek ke tempat kerja pada musim panas, manakala 46.5 peratus menyokong cadangan berkenaan.
Bagi mereka yang menolak pemakaian seluar pendek, kebimbangan utama melibatkan penampilan fizikal dan bulu badan.
Kajian itu juga mendapati wanita lebih ramai menyuarakan bantahan berbanding lelaki.
Di media sosial Jepun, muncul istilah baharu 'sunehara', gabungan perkataan Jepun yang merujuk kepada “gangguan bulu kaki”, bagi menggambarkan rasa tidak selesa sesetengah wanita apabila terpaksa melihat bulu kaki rakan sekerja lelaki yang terdedah.
Pada masa sama, sebahagian wanita turut mempersoalkan keadilan dasar itu kerana mereka masih berdepan jangkaan sosial untuk memakai stoking atau pakaian tertentu apabila menampakkan bahagian kaki di tempat kerja.
Fenomena itu secara tidak langsung mendorong peningkatan permintaan terhadap rawatan membuang bulu kaki dalam kalangan lelaki.
Pengarah Gorilla Clinic, Akifumi Funatsu, berkata semakin ramai pelanggan mendapatkan rawatan laser bukan semata-mata atas faktor kosmetik, tetapi sebagai sebahagian daripada etika sosial apabila memakai seluar pendek.
Menurutnya, sesetengah lelaki beranggapan penampilan kaki yang kurang berbulu lebih diterima oleh masyarakat dan tidak menimbulkan ketidakselesaan kepada orang lain.
Kempen Cool Biz sebenarnya diperkenalkan Koike ketika beliau memegang jawatan Menteri Alam Sekitar Jepun pada 2005.
Ketika itu, kerajaan melancarkan kempen nasional bagi mengurangkan penggunaan tenaga dengan menggalakkan pekerja memakai baju berlengan pendek tanpa tali leher.
Kempen tersebut mendapat perhatian meluas apabila pemimpin negara, termasuk Perdana Menteri ketika itu Junichiro Koizumi, kerap muncul di khalayak tanpa jaket dan tali leher.
Selepas gempa bumi dan tsunami Tohoku pada 2011, kerajaan Jepun memperkenalkan pula “Super Cool Biz”, dengan garis panduan yang lebih fleksibel bagi mengurangkan penggunaan tenaga di pejabat dan kediaman.
Jepun kini berdepan gelombang haba yang semakin teruk, selari dengan peningkatan suhu global serta kos tenaga yang tinggi.
Agensi Meteorologi Jepun turut memberi amaran mengenai hari-hari yang dikategorikan sebagai “kokusho-bi” atau “hari panas melampau”, apabila suhu melebihi 40 darjah Celsius.
Data terkini menunjukkan tujuh kematian akibat strok haba direkodkan di Jepun, manakala 4,580 individu dimasukkan ke hospital dalam tempoh seminggu antara 6 hingga 12 Julai.
Selain memastikan badan kekal terhidrat dan menggunakan pendingin hawa, penduduk Jepun semakin bergantung kepada pelbagai produk untuk menghadapi cuaca panas, termasuk pakaian yang dilengkapi kipas terbina dalam, tuala basah pakai buang, payung penahan sinaran ultraungu dan haba serta kipas tangan mudah alih.
Pakar turut menegaskan kepentingan proses penyesuaian badan terhadap cuaca panas kerana tubuh manusia memerlukan beberapa minggu untuk menyesuaikan diri dengan suhu tinggi.
Mereka mengingatkan orang ramai supaya mengambil langkah pencegahan strok haba lebih awal, terutama ketika musim hujan sebelum ketibaan musim panas sepenuhnya.
Keadaan di Jepun menjadi lebih mencabar kerana tahap kelembapan yang tinggi menyebabkan peluh lebih sukar tersejat, sekali gus mengurangkan keupayaan badan untuk menyejukkan diri secara semula jadi.