SYARIKAT pengeluar kenderaan terkemuka Toyota Motor Corp bakal menyuntik pelaburan berjumlah USD1 bilion dalam syarikat perkhidmatan e-hailing, Grab Holdings.

Toyota telah membuat penilaian terhadap Grab dan meletakkan nilainya pada jumlah USD10 bilion.

Demikian menurut portal teknologi TechCrunch yang memetik sumber terdekat syarikat yang menyediakan perkhidmatan di lapan negara Asia itu.

Manakala Toyota dalam satu kenyataan berkata, seorang eksekutif syarikat itu akan dilantik menganggotai lembaga Grab dan seorang pekerja di Toyota akan dipinjamkan ke Grab sebagai pegawai eksekutif.

“Bersama Grab, kami akan menyediakan perkhidmatan yang lebih menarik, selamat dan bernilai kepada pengguna kami di Asia Tenggara, di masa hadapan,” kata Naib Presiden Eksekutif Toyota Shigeki Tomoyama.

Tahun lalu, Toyota telah melabur dalam Grab menerusi anak syarikatnya Next Technology Fund. Namun kali ini pelaburan dibuat sendiri oleh syarikat induk. Hyundai juga telah melabur dalam Grab.

Pelaburan kali ini hadir selepas syarikat kewangan China, SoftBank dan Didi, telah melabur sejumlah USD2 bilion kepada Grab tahun lalu.

Menurut portal Fortune, syarikat pengeluar kenderaan sudah mula melabur dalam syarikat perkhidmatan e-hailing setelah menyedari bahawa permintaan kereta individu akan berkurang di masa hadapan.

Toyota telah mengikut jejak langkah syarikat pengeluar kenderaan lain seperti General Motors, Daimler dan Honda Motor yang masing-masing telah melabur dalam syarikat dan aplikasi ride-hailing dan pembangunan kereta pandu sendiri.

Pada asalnya, syarikat tersebut dinilai pada USD6 bilion namun meningkat kepada USD10 bilion selepas ia berjaya membeli perkhidmatan Uber di Asia Tenggara.

Menurut Grab, syarikat itu kini mempunyai lebih 100 juta muat turun aplikasi di lapan negara seluruh Asia termasuk Malaysia, Singapura, Indonesia, Vietnam dan Thailand.

Jelasnya lagi, keuntungan tahunan syarikat juga telah melepasi kadar USD1 bilion.