FIRMA pembangunan teknologi kreatif, Blackmagic Design, melancarkan perisian DaVinci Resolve 21 yang kini dilengkapi ciri suntingan foto baharu, menyerupai fungsi perisian Adobe Lightroom.
Pelancaran versi stabil itu dibuat selepas aplikasi berkenaan melalui fasa ujian beta selama kira-kira dua bulan sejak diperkenalkan pada April lalu, lapor Amanz.
Menerusi kemas kini terbaharu itu, ciri suntingan foto dikenali sebagai Photo Page disepadukan sepenuhnya ke dalam ekosistem perisian berkenaan, lengkap dengan sokongan jadual rujukan warna (look-up table, LUT) serta profil warna video standard.
Sistem itu turut dilengkapi fungsi Lightbox untuk paparan keseluruhan album foto, selain sokongan sambungan terus kamera jenama Sony dan Canon bagi membolehkan rakaman imej secara langsung ke dalam komputer.
Beberapa ciri kecerdasan buatan (AI) turut diperkenalkan, termasuk AI Magic Mask dan AI UltraSharpen yang berfungsi meningkatkan resolusi serta ketajaman imej.
Bagi segmen suntingan video, DaVinci Resolve 21 memperkenalkan puluhan ciri baharu termasuk sokongan format Apple Immersive bagi penghasilan kandungan realiti maya VR180 dan VR360, yang boleh dimainkan di platform seperti Meta Quest dan YouTube VR.
Teknologi MultiMaster turut diperkenalkan bagi membolehkan penghasilan fail kandungan julat dinamik tinggi (HDR) dan julat dinamik standard (SDR) secara serentak dalam satu garis masa.
Selain itu, antara fungsi AI terbaharu yang dimuatkan dalam versi ini termasuk:
- AI IntelliSearch — mengesan objek, wajah dan dialog secara automatik dalam fail media
- AI Speech Generator — menjana suara digital berdasarkan teks atau sampel suara
- AI CineFocus — menetapkan semula titik fokus video dengan kawalan bukaan lensa serta kesan kabur (bokeh)
- AI Face Age Transformer dan AI Face Reshaper — mengubah anggaran usia serta bentuk ciri wajah
- AI Blemish Removal — menghapuskan cela pada kulit secara digital
- AI Slate ID — merekod maklumat papan penanda penggambaran secara automatik
- AI Motion Deblur — mengurangkan kesan kabur akibat pergerakan pantas
Versi asas DaVinci Resolve 21 boleh dimuat turun secara percuma menerusi laman rasmi Blackmagic Design, manakala versi komersial DaVinci Resolve 21 Studio ditawarkan pada harga AS$295 (kira-kira RM1,190).