AMMAN: Ramadan Al Mubarak yang disambut di Jordan pada Ahad dirai oleh warganya dengan penuh kegembiraan dan keriangan.

Rumah, lorong, jalan raya dan masjid tidak kira di bandar atau kampung dihiasi 'Fanous' Ramadan atau tanglung tradisi dalam pelbagai warna, bentuk dan saiz.

Institut dan pertubuhan kebajikan turut berlumba-lumba mendirikan khemah Ramadan, bagi menyediakan hidangan berbuka kepada golongan memerlukan.

Seorang wanita tempatan Umm Ali Al-Bitawi, yang ditemui Agensi Berita Qatar (QNA) menyifatkan Ramadan sebagai bulan ibadah yang datang bersama ritual, adat dan tradisi warisan nenek moyang.

"Sama ada (warisan itu) berupa sosial, keagamaan ataupun juadah-juadah istimewa yang menghiasi meja berbuka (puasa)", katanya.

"Paling dinanti adalah amalan 'Musakabah'. Walaupun masih diamal hingga kini, ia tidak semeriah dulu", ujarnya.

Tradisi 'Musakabah' atau secara literalnya 'saling menuang' ibarat amalan saling menuangkan air atau menghidangkan juadah yang dikongsi sesama jiran pada bulan Ramadan.

"Semua gara-gara 'bufet' terbuka", selorohnya sambil menambah itu tidak menjadi masalah kerana tujuan penyediaannya sama, iaitu meningkatkan keakraban, kasih sayang dan perpaduan.

Mengimbau kenangannya, Umm Ali menjelaskan dahulu sementara para suami dan lelaki menuju masjid untuk berterawih, golongan wanita biasanya akan bertandang ke rumah jiran atau saudara-mara.

"Sekarang seisi keluarga pergi dengan kereta keluar pada malam Ramadan di jalanan dan kafe popular, atau hanya duduk di rumah menghadap skrin televisyen", katanya.Tambahnya, hidangan berbuka dan sahur juga turut berubah mengikut gaya hidup terkini.

Jika dulu beberapa biji kurma, tomato, sup 'Rashoof' atau kuah kacang dhal, selain 'Lazakiyat' dan 'Al-Mutabaq' (kedua-duanya sejenis roti atau pastri Arab) sudah cukup melengkapi hidangan berbuka.

"Mudah dan murah," kata Umm Ali.

Kini menurutnya, meja Ramadan dipenuhi pelbagai jenis dan bentuk juadah. Kurma dan air biasanya dijamah sebelum memulakan solat Maghrib.

Usai bersolat, 'acara' makan dimulakan dengan sup yang biasanya terdiri daripada sayur-sayuran segar dan 'Shu-'airia' (seakan bihun), serta variasi salad. Hidangan utama selalunya berupa nasi berlauk daging atau ayam selain beberapa pembuka selera lain seperti 'Fatteh Hummus' dengan daging cincang dan acar, diikuti 'Musakhan' iaitu roti pipih yang dihidang bersama bawang karamel dan ayam goreng sumac.

Menyentuh hidangan berbuka warga ibu kota Amman pula, Ummu Ali menjelaskan bahawa warga Jordan sentiasa memelihara kepelbagaian jenis juadah tradisi mereka.

"Di setiap rumah pastinya akan ada satu. Mungkin yang paling menonjol adalah 'Maqlouba', 'Mansaf', Ayam 'Musakhan', 'Maftoul', 'Mahashi', dan banyak lagi hidangan tradisional", katanya.

Beliau menegaskan bahawa amalan 'Al-Masharati' masih merupakan budaya paling menonjol pada bulan Ramadan di Jordan.

'Al-Masharati' merupakan amalan tradisi yang dilakukan oleh sekumpulan lelaki yang dilantik oleh ketua kejiranan atau imam masjid untuk mengejutkan orang ramai bangun bersahur, dengan menggunakan alat bunyian berupa gendang lama.

Setiap malam mereka menyusuri lorong dan laluan taman perumahan, sambil mengetuk gendang dan selalunya akan disertai beberapa kanak-kanak yang melaungkan: 'La ila ha iIlallah... Bangunlah, wahai yang tidur'.

Pada hari-hari terakhir Ramadan, 'Al-Masharati' biasa akan mengulangi beberapa lafaz perpisahan kepada bulan suci ini.

Sementara itu, Ziyad Al-Nashef (penduduk kota Amman) memberitahu QNA bahawa beliau dan keluarga biasanya menghiasi rumah mereka seminggu sebelum kedatangan Ramadan.

"Ia telah menjadi keriangan bermusim, terutama untuk kanak-kanak", ujarnya.

Ibarat upah kerana berjaya menjalani ibadah puasa, kanak-kanak diberi wang saku untuk membeli 'Fanous' dan lampu kelap kelip pelbagai bentuk untuk digantung menghiasi lorong kejiranan dan bangunan kediaman.

Warna warni biasan lampu 'Fanous' sangat menarik dan indah, terutama pada waktu malam.

Bagi Ahmed Al-Waqfi, beliau memuji penyediaan khemah Ramadan yang menjadi tumpuan ramai selepas solat Terawih.

"Di situ ada kurma, kopi Arab dan jus Ramadan.. ada 'Qatayef' dan 'Awamah' juga", katanya.

Khemah Ramadan juga digunakan untuk penyediaan acara 'iftar jamaie' (berbuka beramai-ramai) yang menghidangkan pelbagai juadah tajaan para dermawan untuk gelandangan, fakir miskin, balu dan anak-anak yatim.

Terdahulu, Kerajaan Jordan mengumumkan pelancaran kempen 'Ramadaniyat', menerusi penganjuran acara sukan, kebudayaan, pelancongan dan sosial semasa bulan suci Ramadan.

Kempen yang bertujuan menghidupkan semula tradisi Ramadan itu diadakan dengan kerjasama beberapa kementerian antaranya Kementerian Pelancongan dan Warisan, Kementerian Belia dan Kementerian Pembangunan Masyarakat.

Ia juga sebagai usaha untuk menonjolkan produk kebudayaan Jordan, selain menjadikan warisan itu kekal tersedia untuk generasi baharu.

-- BERNAMA