Presiden Sierra Leone, Ernest Bai Koroma semalam, mengisytiharkan negara berkabung selama tujuh hari sebagai memperingati mangsa tragedi banjir lumpur yang mengorbankan hampir 300 nyawa, lapor agensi berita China Xinhua.

Pengumuman itu dibuat menerusi siaran televisyen Sierra Leone Broadcasting Corporation selepas banjir lumpur berlaku pada Isnin di pinggir bandar Freetown.

Tempoh berkabung bermula hari ini hingga 22 Ogos dan bendera akan dikibarkan separuh tiang.

Menurut kenyataan Pejabat Presiden, seluruh rakyat juga diminta bertafakur selama seminit pada 12 tengan malam Rabu.

"Presiden juga memutuskan mengerahkan bantuan ketenteraan kepada penduduk dan meletakkan tahap kecemasan negara berada pada tahap tiga," tambah kenyataan itu.

BACA: Ratusan maut dalam banjir lumpur di Sierra Leone

Waris mangsa diminta melakukan pengecaman mayat di Hospital Connaught Mortuary antara pukul 9 pagi dan 5 petang hari ini dan akan diberi khidmat nasihat mengenai prosedur pengebumian.

Sementara mayat yang gagal dikenal pasti akan diberikan penghormatan dalam satu istiadat pengebumian di Waterloo pada Khamis dan Jumaat.

Pihak kerajaan juga akan sentiasa mengemas kini maklumat bagi kemudahan orang ramai mengetahui perkembangan terkini.

Timbalan Menteri Penerangan dan Komunikasi, Cornnelius Deveaux pada satu taklimat media, memaklumkan jumlah mayat ditempatkan di Hospital Connaught sebanyak 297 termasuk 109 kanak-kanak, 83 wanita dan 105 lelaki.

Beliau berkata operasi mencari masih diteruskan kerana ratusan lagi mangsa dikhuatiri hilang.

-- BERNAMA