KUALA LUMPUR: Kelab Bola Sepak Arema FC akan bertanggungjawab terhadap mangsa kejadian rusuhan bola sepak di Stadium Kanjuruhan, Kabupaten Malang, Jawa Timur Indonesia sehingga mengakibatkan sekurang-kurangnya 129 individu terkorban.

Pengerusi Jawatankuasa Arema FC, Abdul Haris dalam satu kenyataan berkata, pihaknya juga akan membentuk pasukan Crisis Center atau Pusat Informasi Korban bagi menerima laporan serta mengendalikan mangsa yang dirawat di hospital.

BACA: [LAPOR LANGSUNG] 129 terkorban dalam rusuhan perlawanan bola sepak

"Pengurusan Arema FC menyampaikan rasa duka terhadap mangsa-mangsa korban dalam kejadian rusuhan di Stadium Kanjuruhan, Kabupaten Malang pada Sabtu.

"Pihak pengurusan turutbertanggungjawab untuk mengendalikan korban sama ada yang telah meninggal dunia dan sedang dirawat," kata Abdul Haris dalam kenyataan yang dimuat naik di laman web kelab tersebut, hari ini.

.

Abdul Haris menambah Arema FC memohon maaf kepada keluarga mangsa yang terkorban akibat tragedi berkenaan.

Katanya, pihaknya sedia berjumpa dengan ahli keluarga mangsa dan menerima cadangan dalam menguruskan pasca musibah agar lebih ramai dapat diselamatkan.

Dalam pada itu, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dalam hantaran di Twitter menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa-mangsa yang terkorban dalam tragedi rusuhan berkenaan.


Terdahulu, pihak berkuasa Indonesia memaklumkan sekurang-kurangnya 129 orang terbunuh termasuk dua anggota polis, manakala 180 cedera akibat rempuhan ketika rusuhan perlawanan bola sepak di Jawa Timur.

Insiden disifatkan sebagai salah satu bencana terburuk dalam arena bola sepak dunia.

Memetik Kompas.com, Ketua Polis Jawa Timur, Inspektor Jeneral Nico Afinta berkata penyokong Arema meluru ke dalam padang selepas pasukan mereka tewas kepada Persebaya Surabaya, menyebabkan polis melepaskan gas pemedih mata bagi meredakan ketegangan.

Begitupun, difahamkan pemedih mata yang dilepaskan menyebabkan penyokong berkenaan cuba mengelakkan sehingga berlaku rempuhan dan terpijak penonton lain.

Selain itu, ramai penyokong dilapor mengalami sesak nafas.

Rusuhan berlarutan sehingga ke luar stadium dengan sekurang-kurangnya lapan kenderaan polis mengalami kerosakan.

Susulan kejadian tersebut, Arema FC dilarang daripada menganjurkan sebarang perlawanan sepanjang musim Liga 1 2022/2023.