JAKARTA: Ketua Polis Malang dipecat, manakala sembilan pegawai elit polis digantung tugas berkuat kuasa Isnin berhubung tragedi rempuhan di Stadium Kanjuruhan, Malang Jawa Timur pada Sabtu, yang mengorbankan 125 nyawa dan mencederakan 323 mangsa.

Selain mereka, 18 anggota polis yang lain turut disiasat susulan tindakan menembak gas pemedih mata di dalam Stadium Kanjuruhan itu.

Tindakan diambil ketika pihak polis Indonesia menghadapi tekanan memuncak susulan tindakan melepaskan gas pemedih mata untuk meleraikan kekecohan seterusnya mencetuskan panik dalam kalangan penonton.

Memetik laporan The Guardian, Ketua Polis Jawa Timur, Nico Afinta bagaimanapun kekal mempertahankan anggota pihak berkuasa yang bertugas dalam kejadian itu pada sidang media, Ahad lalu.

Tegas beliau, langkah keselamatan lain telah diambil tetapi penonton mula bertindak agresif sebelum pihak berkuasa melepaskan gas pemedih mata.

Tragedi Kanjuruhan | Ketua Polis Malang dipecat, 9 pegawai elit digantung tugas


[LAPOR LANGSUNG] Rusuhan Stadium Kanjuruhan kejadian kedua terburuk dalam sejarah dunia

Dalam pada itu, tiga orang saksi yang berada di dalam stadium memberitahu gas pemedih mata bukan sahaja dilepaskan di atas padang malah ke arah mereka yang ada di tempat duduk stadium.

Saksi kejadian memberitahu bahawa tiada amaran awal diberikan sebelum gas pemedih mata dilepaskan.

Tindakan pihak berkuasa menyebabkan penonton yang berada di dalam stadium bertempiaran lari keluar menyelamatkan diri.

Sekurang-kurangnya 32 orang kanak-kanak berusia tiga ke empat tahun maut dalam kejadian.

Sementara itu, satu majlis bertafakur diadakan oleh sekumpulan peminat bola sepak di perkarangan Stadium Kanjuruhan Ahad lalu bagi mengenang mangsa terkorban.

Dinding stadium juga diconteng bagi meluahkan kemarahan mendalam mereka terhadap pihak berkuasa. – Agensi