WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mengadakan perbincangan berprofil tinggi dengan Ketua NATO, Mark Rutte, pada Rabu (8 April), dengan White House memaklumkan, beliau akan membincangkan kemungkinan Amerika Syarikat keluar daripada pakatan itu selepas NATO gagal menyertai perang menentang Iran.
Trump juga sedang mempertimbangkan untuk menghukum beberapa negara anggota NATO yang dianggapnya tidak banyak membantu semasa konflik tersebut dengan memindahkan keluar tentera Amerika Syarikat dari negara-negara berkenaan, lapor Wall Street Journal.
Advertisement
Rutte, bekas Perdana Menteri Belanda yang digelar “Trump whisperer” kerana kebolehannya memuji dan menenangkan pemimpin AS yang sukar dijangka itu — memasuki Sayap Barat melalui pintu sisi, dan pertemuan mereka berlangsung secara tertutup.
“Agak menyedihkan apabila NATO membelakangkan rakyat Amerika sepanjang enam minggu lalu, sedangkan rakyat Amerika lah yang telah membiayai pertahanan mereka,” kata Setiausaha Akhbar White House, Karoline Leavitt, kepada pemberita.
Apabila ditanya sama ada Trump akan membincangkan kemungkinan pengunduran daripada NATO, Leavitt berkata: “Itu sesuatu yang telah dibincangkan oleh Presiden, dan saya fikir ia juga sesuatu yang akan dibincangkan oleh Presiden dalam beberapa jam lagi bersama Setiausaha Agung Rutte.”
Pertemuan itu diadakan sehari selepas Amerika Syarikat dan Iran bersetuju dengan satu gencatan senjata rapuh selama dua minggu.
Trump telah menyuarakan kemarahan terhadap keengganan rakan-rakan Barat untuk menyokong perangnya menentang Iran, sekali gus menggoncang pakatan transatlantik yang berusia 77 tahun — hanya dua tahun lebih muda daripada beliau sendiri.
Pemimpin AS itu melabel NATO sebagai “paper tiger” kerana enggan mengetuai usaha membuka Selat Hormuz yang strategik serta mengehadkan penggunaan pangkalan tentera di wilayah mereka oleh angkatan AS.
Trump turut mengkritik beberapa pemimpin negara anggota secara peribadi, termasuk mengecam Perdana Menteri Britain, Keir Starmer sebagai “bukan Winston Churchill” serta memperlekehkan kapal pengangkut pesawat Britain sebagai “mainan.”
Bagi menghukum negara-negara NATO yang dianggap tidak membantu, pentadbiran Trump sedang mempertimbangkan pelan untuk memindahkan tentera AS keluar dan menempatkan mereka di negara lain yang dilihat lebih menyokong perang AS di Iran, menurut laporan Wall Street Journal.
Namun begitu, pelan itu tidak sampai ke tahap ancaman Trump yang sering dibayangkan sebelum ini untuk menarik Amerika Syarikat keluar sepenuhnya daripada NATO - satu langkah yang memerlukan kelulusan Kongres. - Agensi