WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mengarahkan Pentagon mengurangkan secara ketara latihan ketenteraan bersama yang dijadual berlangsung dengan Korea Selatan minggu ini, dengan alasan ia membabitkan kos tinggi serta memberi isyarat yang dianggap tidak sesuai terhadap Korea Utara.
Menerusi hantaran di media sosial pada Ahad, Trump berkata, latihan berkenaan bukan sahaja mahal, malah menghantar mesej yang “sama sekali tidak sesuai dan bermusuhan” kepada Pyongyang.
Beliau turut mendakwa, Korea Utara, sepanjang tempohnya berada di White House menunjukkan sikap yang tidak mengancam dan menghormati AS.
“Justeru, memandangkan sudah terlambat untuk membatalkannya, saya telah mengarahkan Setiausaha Pertahanan, Pete Hegseth, supaya mengurangkan secara besar-besaran latihan ketenteraan bersama itu,” katanya.
Trump turut mendedahkan, beliau sebelum ini meminta Presiden Korea Selatan menyertai usaha AS untuk menyahnuklearkan Iran, namun, cadangan itu ditolak Seoul.
Latihan selama 11 hari yang melibatkan kira-kira 18,000 anggota tentera Korea Selatan itu dirancang untuk meningkatkan tahap kesiapsiagaan menghadapi ancaman daripada Korea Utara.
Pada Jumaat lalu, Korea Utara mengancam untuk mengambil tindakan tegas yang tidak diperincikan terhadap AS dan Korea Selatan, sambil menyifatkan latihan berkenaan sebagai “latihan persediaan perang agresif” yang mencetuskan ketidakstabilan serantau.
Bagaimanapun, penganalisis melihat kenyataan keras seumpama itu bukan sesuatu yang luar biasa kerana Pyongyang sering mengeluarkan amaran menjelang latihan ketenteraan besar melibatkan AS dan Korea Selatan.
Menurut mereka, Korea Utara kerap menggunakan latihan tersebut sebagai alasan untuk memperhebat pembangunan ketenteraan termasuk ujian senjata baharu dan pada masa sama mengukuhkan sokongan domestik terhadap pemimpinnya, Kim Jong Un.
Menurut pihak tentera AS, latihan berkenaan merangkumi simulasi operasi bersama dalam pelbagai senario kompleks termasuk latihan tembakan hidup, ujian penyasaran tepat, pergerakan taktikal, operasi merentasi halangan air serta pengagihan peralatan ketenteraan yang disimpan lebih awal.
Tentera AS menegaskan, latihan musim panas Ulchi Freedom Shield memainkan peranan penting dalam memperkukuh pakatan keselamatan Washington-Seoul serta mengekalkan keamanan dan kestabilan di rantau berkenaan.
Latihan itu berlangsung hanya beberapa hari selepas Korea Utara menyambung semula aktiviti ujian peluru berpandu balistik yang dilarang oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Awal bulan ini, Korea Selatan, AS dan Jepun mengesan pelancaran peluru berpandu balistik jarak dekat oleh Korea Utara, yang merupakan ujian pertama senjata balistik negara itu sejak Jun lalu.
Peluru berpandu tersebut dilaporkan jatuh di perairan luar pantai timur Korea Utara.
Pyongyang giat memperkukuh program nuklear dan peluru berpandunya sejak rundingan berprofil tinggi antara Kim dan Trump gagal mencapai persetujuan pada 2019.
Pakar berpendapat, Kim percaya pemilikan lebih banyak senjata nuklear akan meningkatkan kedudukannya dalam sebarang rundingan masa depan dengan Washington.
Sepanjang penggal pertamanya, Trump bertemu Kim sebanyak tiga kali bagi membincangkan isu program nuklear Korea Utara, dengan pertemuan terakhir berlangsung pada 2019.
Sejak kembali memegang jawatan, Presiden Trump beberapa kali menyatakan minat untuk meneruskan semula dialog tersebut.
Pengumuman Trump itu dibuat sehari selepas beliau memuat naik sekeping gambar bersama Kim di media sosial sambil menyatakan kedua-dua mereka mempunyai hubungan yang baik “walaupun wajah mereka kelihatan kurang mesra dalam gambar itu.”
Ini bukan kali pertama Trump cuba menghentikan latihan ketenteraan bersama AS-Korea Selatan.
Selepas sidang kemuncaknya dengan Kim di Singapura pada 2018, Trump turut mengejutkan ramai pihak apabila mengumumkan hasrat menghentikan latihan yang disifatkannya sebagai “provokatif”.
Ketika itu, beliau berkata, latihan berkenaan akan dihentikan bagi menjimatkan perbelanjaan, sekurang-kurangnya sehingga rundingan dengan Korea Utara tidak lagi menunjukkan perkembangan yang diharapkan. - Agensi