Skip to main content

Dunia

Trump beri amaran Iran bakal hadapi akibat ‘sangat traumatik’ jika gagal capai perjanjian nuklear

President Donald Trump listens as Environmental Protection Agency director Lee Zeldin speaks during an event announcing that the EPA will no longer regulate greenhouse gases, in the Roosevelt Room of the White House, Thursday, Feb. 12, 2026, in Washington. (AP Photo/Evan Vucci)
Presiden Donald Trump mendengar Pengarah Agensi Perlindungan Alam Sekitar, Lee Zeldin, berucap pada satu acara di Bilik Roosevelt, White House, Washington, pada Khamis. - Gambar AP

WASHINGTON:

Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, memberi amaran kepada Iran bahawa negara itu bakal menghadapi “akibat yang sangat traumatik” sekiranya gagal mencapai perjanjian nuklear dengan Washington.

Amaran itu disuarakan pada Khamis, sehari selepas Trump mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, di White House, di sini.

Trump berkata, beliau optimis untuk melihat perkembangan positif “dalam tempoh sebulan akan datang” susulan rundingan antara Washington dan Tehran berhubung program nuklear Iran.

“Kita perlu mencapai perjanjian. Jika tidak, ia akan menjadi sangat traumatik, sangat traumatik. Saya tidak mahu perkara itu berlaku, tetapi kita perlu mencapai perjanjian,” kata Trump kepada pemberita.

Beliau turut menegaskan: “Ini akan menjadi sangat traumatik bagi Iran sekiranya mereka tidak mencapai perjanjian.”

Trump, yang sedang mempertimbangkan penghantaran kapal pengangkut pesawat kedua ke Asia Barat sebagai tekanan tambahan ke atas Iran, turut mengingatkan mengenai serangan ketenteraan AS terhadap kemudahan nuklear Tehran ketika konflik 12 hari antara Israel dan Iran pada Julai tahun lalu.

“Kita akan lihat sama ada kita boleh mendapatkan perjanjian dengan mereka. Jika tidak, kita perlu beralih ke fasa kedua. Fasa kedua akan menjadi sangat sukar bagi mereka,” tegasnya.

Netanyahu berada di Washington bagi mendesak Trump mengambil pendirian lebih tegas dalam rundingan nuklear, termasuk menuntut penglibatan isu peluru berpandu balistik Iran dalam perjanjian baharu.

Namun pertemuan itu berakhir dengan perbezaan ketara antara kedua-dua pemimpin, apabila Trump menegaskan rundingan mesti diteruskan.

Dalam kenyataannya sebelum pulang ke Israel pada Khamis, Netanyahu menyatakan Trump percaya syarat semasa mungkin membuka ruang bagi perjanjian yang lebih baik.

“Beliau percaya bahawa syarat yang sedang diwujudkan, ditambah dengan kesedaran Iran bahawa mereka telah melakukan kesilapan kerana gagal mencapai perjanjian sebelum ini, boleh mewujudkan keadaan untuk mencapai perjanjian yang baik,” kata Netanyahu dalam kenyataan yang dikeluarkan melalu video oleh pejabatnya.

Namun Netanyahu menambah: “Saya tidak akan menyembunyikan daripada anda bahawa saya menyuarakan keraguan umum mengenai kualiti mana-mana perjanjian dengan Iran.”

Menurutnya, sebarang perjanjian mesti merangkumi elemen kritikal termasuk:

  • Program peluru berpandu balistik Iran
  • Sokongan Iran kepada kumpulan bersenjata seperti Hamas, pemberontak Houthi di Yaman dan Hezbollah di Lubnan

“Ini bukan sekadar isu nuklear,” tegas Netanyahu.

Ketegangan AS-Iran semakin meningkat

Trump kebelakangan ini berkali-kali memberi bayangan mengenai kemungkinan tindakan ketenteraan terhadap Iran susulan tindakan keras Tehran terhadap penunjuk perasaan bulan lalu — meskipun Washington dan Tehran menyambung semula rundingan minggu lalu di Oman.

Rundingan terdahulu antara kedua-dua negara terhenti akibat perang Israel–Iran serta serangan balas AS.

Setakat ini, Iran menegaskan rundingan tidak akan diperluaskan melangkaui isu program nuklearnya.

Tehran berulang kali menafikan ia sedang membangunkan senjata nuklear dan menolak apa yang disifatkan sebagai “tuntutan berlebihan.” - Agensi

Advertisement

Must Watch Video