WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump membatalkan satu ketetapan saintifik era Obama yang menjadi asas kepada semua tindakan persekutuan untuk mengawal pelepasan gas rumah hijau.
Ketetapan tahun 2009 itu, dikenali sebagai 'endangerment finding', menyimpulkan bahawa beberapa jenis gas rumah hijau mengancam kesihatan awam.
Advertisement
Ia menjadi landasan undang-undang bagi usaha mengurangkan pelepasan, khususnya dalam sektor automotif.
White House menyifatkan pembatalan itu sebagai “deregulasi terbesar dalam sejarah AS”, dengan mendakwa ia akan menjadikan kereta lebih murah dan mengurangkan kos pengeluar sebanyak AS$2,400 setiap kenderaan.
Kumpulan alam sekitar bagaimanapun menyifatkannya sebagai penarikan balik paling serius berkaitan perubahan iklim dan merancang cabaran undang-undang.
Bercakap di Oval Office, Trump mengkritik ketetapan 2009 itu sebagai “dasar era Obama yang merosakkan industri automotif” dan meningkatkan harga bagi pengguna.
Beliau turut mengecam agenda iklim Demokrat sebagai “penipuan besar”.
Bekas Presiden Barack Obama, dalam salah satu kenyataan berkata pembatalan itu akan “menjadikan rakyat AS kurang selamat, kurang sihat dan kurang berupaya menangani perubahan iklim”, sambil menuduh langkah tersebut menguntungkan industri bahan api fosil.
Ketetapan asal EPA pada 2009 menyatakan enam gas utama, termasuk karbon dioksida dan metana, berbahaya kepada kesihatan manusia.
Dengan Kongres ketika itu gagal meluluskan undang-undang berkaitan iklim, keputusan EPA menjadi asas kepada pelbagai peraturan pelepasan, daripada kenderaan hingga sektor tenaga dan minyak serta gas.
Pegawai pentadbiran Trump mendakwa pembatalan itu akan menjimatkan lebih AS$1 trilion dan menurunkan kos tenaga serta pengangkutan.
Namun kumpulan alam sekitar berhujah bahawa pengguna akan menanggung kos bahan api jauh lebih tinggi, selain peningkatan risiko kesihatan termasuk kematian pramatang dan serangan asma.
Pengkritik juga memberi amaran bahawa pengeluar kereta AS mungkin berdepan kesukaran menjual kenderaan kurang cekap bahan api ke pasaran luar negara.
Pada masa yang sama, langkah itu boleh mencetuskan gelombang tuntutan mahkamah baharu apabila negeri dan pertubuhan masyarakat sivil mencari ruang undang-undang selepas perlindungan sebelumnya diketepikan.