DUNIA
Trump cadang batal lesen rangkaian TV yang menentang beliau

Trump mencetuskan kontroversi apabila mencadangkan lesen penyiaran beberapa rangkaian televisyen yang dianggap menentangnya, mungkin perlu ditarik balik.
WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mencetuskan kontroversi apabila mencadangkan lesen penyiaran beberapa rangkaian televisyen yang dianggap menentangnya, mungkin perlu ditarik balik.
Kenyataan itu dibuat selepas pentadbirannya menekan syarikat penyiaran ABC sehingga menggantung pengacara terkenal rancangan lewat malam, Jimmy Kimmel.
Tindakan tersebut mencetuskan kebimbangan terhadap usaha pentadbiran Trump menyekat kebebasan bersuara pengkritiknya.
Kimmel, 57, digantung selepas mengulas isu pembunuhan tokoh konservatif, Charlie Kirk dengan menyindir penyokong Trump atau “MAGA gang” yang menurutnya cuba mengelak daripada dikaitkan dengan suspek berusia 22 tahun.Dalam monolognya, Kimmel turut menyamakan reaksi Trump terhadap kematian Kirk – seorang sekutu politik rapat – dengan “seorang kanak-kanak berusia empat tahun yang kehilangan ikan emas."
Penggantungan terhadap Kimmel mencetuskan gelombang sokongan daripada pengacara lain termasuk Stephen Colbert yang menyifatkannya sebagai “penapisan terang-terangan.”
Jon Stewart pula menyindir Trump sebagai “dear leader” yang anti-kritikan sambil mewawancara pemenang Hadiah Nobel, Maria Ressa, yang mengingatkan bahaya jika rakyat Amerika gagal mempertahankan hak kebebasan bersuara.
Sementara itu, pelakon terkenal Ben Stiller dan Jean Smart turut mengecam tindakan menggantung Kimmel.
Dua kesatuan besar Hollywood, Writers Guild of America dan Screen Actors Guild menyifatkan langkah itu sebagai pelanggaran hak kebebasan bersuara yang dijamin Perlembagaan AS.
Namun, ada juga yang mempertahankan keputusan ABC dan Suruhanjaya Komunikasi Persekutuan (FCC), dengan alasan Kimmel perlu menanggung akibat kenyataannya yang dianggap menghina dan menyinggung ramai pihak.
Pengerusi FCC, Brendan Carr, mengkritik Kimmel kerana berkelakuan “paling jijik” dan memberi amaran lesen penyiaran boleh ditarik balik sekiranya rangkaian televisyen gagal mengubah pendekatan mereka.
ABC yang dimiliki Disney serta syarikat penyiaran besar lain kini berdepan tekanan lebih besar daripada pihak pengawal selia.
Charlie Kirk, 31, ditembak mati ketika berucap di Universiti Utah Valley pada 10 September lalu.
Suspek kini dituduh membunuh dan pendakwa raya menyatakan mereka akan menuntut hukuman mati.
Bekas Presiden Barack Obama pula menuduh pentadbiran Trump “membawa budaya batal (cancel culture) ke tahap lebih berbahaya” dengan menggunakan ancaman tindakan kawal selia untuk membungkam suara media yang kritikal.
Walaupun Perlembagaan AS melindungi kebebasan bersuara, pemerhati undang-undang memberi amaran bahawa landskap media negara itu kini semakin dibayangi politik, dengan persaingan sengit antara pentadbiran Trump dan pengkritiknya. - Agensi
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami