Skip to main content

Dunia

Trump dakwa Khamenei terbunuh, serangan diteruskan

71606558677_AliKhamenei.jpg
Ayatollah Ali Khamenei. - Gambar fail/REUTERS

KUALA LUMPUR: Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump mendakwa Pemimpin Tertinggi Iran Ayatollah Ali Khamenei telah terbunuh dalam satu operasi ketenteraan pada Sabtu.

Beliau menyifatkannya sebagai “keadilan” bagi rakyat Iran dan mangsa yang terkorban dalam konflik melibatkan negara itu.

Advertisement

Dalam satu kenyataan, Trump mendakwa operasi tersebut berjaya dilaksanakan hasil kerjasama risikan canggih AS dan Israel, yang menurutnya berjaya menjejaki Khamenei serta beberapa pemimpin lain.

Beliau juga mendakwa tiada sebarang tindakan dapat diambil oleh kepimpinan Iran untuk mengelak serangan berkenaan.

Trump turut menyifatkan perkembangan itu sebagai peluang terbesar bagi rakyat Iran untuk “mengambil semula negara mereka”, sambil mendakwa sebahagian anggota Islamic Revolutionary Guard Corps (IRGC), tentera dan pasukan keselamatan Iran tidak lagi mahu meneruskan pertempuran dan sedang mempertimbangkan untuk mendapatkan imuniti.

Beliau berkata pasukan IRGC dan polis Iran diharap dapat bergabung dengan apa yang disebutnya sebagai “patriot Iran” bagi memulihkan negara itu.

Dalam kenyataan sama, Trump mendakwa serangan pengeboman yang disifatkannya sebagai “tepat dan berat” akan diteruskan sepanjang minggu ini atau selagi perlu, bagi mencapai matlamat keamanan di Asia Barat dan dunia.

Bagaimanapun, kenyataan itu tidak disertakan dengan bukti terperinci, dan setakat ini tiada pengesahan rasmi dikeluarkan oleh pihak berkuasa Iran berhubung dakwaan kematian Khamenei atau perkembangan yang dinyatakan.

Terdahulu, Ahli Parlimen Iran, Hamid Rasaee, menegaskan bahawa Khamenei berada dalam keadaan sihat dan selamat.

Kenyataan itu dibuat susulan laporan mengenai pemindahan beliau ke lokasi rahsia berikutan serangan udara di Tehran, bagi menafikan dakwaan yang disifatkan tidak berasas mengenai keselamatan beliau.

Must Watch Video