Trump didakwa naik jet peribadi Epstein lapan kali pada 1990-an – Dokumen DOJ

Gambar fail menunjukkan Presiden Trump (kiri) menghadiri satu acara sekitar tahun 1990-an. Turut kelihatan dalam gambar ialah Jeffrey Epstein (dua dari kiri). - Gambar fail Reuters
WASHINGTON: Presiden Donald Trump dilaporkan pernah menaiki jet peribadi milik pesalah seks, Jeffrey Epstein sebanyak lapan kali pada era 1990-an, menurut e-mel seorang pendakwa raya New York yang terkandung dalam dokumen baharu berkaitan Epstein yang didedahkan Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DOJ) pada Selasa (23 Dis).
E-mel bertarikh 7 Januari 2020 itu menyatakan rekod penerbangan menunjukkan Trump melakukan perjalanan dengan pesawat Epstein “lebih banyak daripada yang dilaporkan sebelum ini.”
Sekurang-kurangnya empat penerbangan turut disertai Ghislaine Maxwell, rakan rapat Epstein yang kini menjalani hukuman penjara 20 tahun kerana membantu Epstein melakukan penderaan seksual terhadap gadis bawah umur.
Tiada dakwaan jenayah terhadap Trump dalam e-mel tersebut.
Malah, dalam hantaran media sosial pada 2024, Trump menegaskan beliau “tidak pernah berada di pesawat Epstein atau di pulau miliknya.”
White House setakat ini belum memberikan sebarang komen.
Butiran e-mel pendakwa raya
Salah satu penerbangan hanya mencatatkan tiga penumpang: Epstein, Trump dan seorang wanita berusia 20 tahun yang identitinya dirahsiakan.
Dua penerbangan lain turut membawa wanita yang berpotensi menjadi saksi dalam kes Maxwell.
Maxwell disabitkan bersalah pada 2021 kerana peranannya memudahkan penderaan seksual oleh Epstein.
Epstein pula ditemui mati di penjara New York pada 2019, dengan kematiannya disahkan sebagai bunuh diri.
DOJ menjelaskan, sebahagian bahan yang didedahkan mengandungi dakwaan tidak berasas terhadap Trump.
Dalam kenyataan di platform X, jabatan itu menyatakan beberapa tuntutan yang dikemukakan kepada FBI menjelang pilihan raya 2020 adalah “tidak benar dan sensasi”, sambil menegaskan ia “tidak berasas dan palsu.”
“Bagaimanapun, atas komitmen terhadap undang-undang dan ketelusan, DOJ mendedahkan dokumen ini dengan perlindungan yang diwajibkan untuk mangsa Epstein,” menurut kenyataan itu.
Fail dan imej yang didedahkan
Pendedahan terbaharu merangkumi hampir 30,000 halaman dokumen, kebanyakannya disunting, bersama puluhan klip video.
Salah satu fail merujuk kepada e-mel 2021 yang menyebut imej Trump bersama Maxwell ditemui ketika meneliti data daripada telefon bimbit bekas pembantu Trump, Steve Bannon.
Foto kabur yang disertakan menunjukkan Trump duduk bersebelahan Maxwell di sebuah pertunjukan fesyen di New York pada tahun 2000.
Kerajaan turut mengeluarkan video yang didakwa menunjukkan Epstein berlutut di dalam sel penjara.
Namun, semakan Reuters mendapati ia adalah klip yang dihasilkan komputer dan pernah tular pada 2020, sebelum dihantar kepada DOJ sebagai bukti kononnya kematian Epstein adalah bunuh diri.
Undang-undang ketelusan dan implikasi politik
Pendedahan ini adalah sebahagian usaha pentadbiran mematuhi undang-undang ketelusan baharu yang diluluskan Kongres bulan lalu, mewajibkan semua fail berkaitan Epstein didedahkan.
Pendedahan terdahulu menerima kritikan daripada sebahagian ahli Republikan berhubung suntingan yang terlalu banyak.
Pada Isnin, Trump menolak kepentingan fail tersebut, menyifatkannya sebagai gangguan daripada apa yang digelar pencapaian Republikan.
Ahli Kongres Republikan, Thomas Massie, yang menjadi pencetus undang-undang pendedahan itu, mengkritik cara pentadbiran mengendalikan dokumen berkenaan, mendakwa pegawai melakukan suntingan berlebihan walaupun undang-undang menghendaki ia didedahkan. - Agensi
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


