ISTANBUL: Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump menggesa Israel dan Iran pada Isnin supaya menghentikan serangan dengan "serta-merta" ekoran kedua-dua belah pihak saling berbalas serangan udara antara mereka, lapor Anadolu Ajansi (AA).
"Israel dan Iran mesti menghentikan serangan dengan serta-merta," kata Trump menerusi akaun media sosial TruthSocial miliknya.
Terdahulu pada hari yang sama, serangan udara Israel menyasarkan sebuah firma petrokimia di barat daya Iran, mengakibatkan kerosakan separa pada kompleks perindustrian terbabit, menurut pegawai Iran.
Serangan itu berlaku ketika siren amaran turut berbunyi di beberapa buah bandar di Israel susulan pelancaran peluru berpandu oleh Tehran.
Rantau berkenaan berada dalam keadaan tegang sejak AS dan Israel melancarkan serangan udara ke atas Iran pada akhir Februari lepas, sekali gus mencetuskan tindak balas daripada Iran terhadap Israel dan beberapa negara serantau lain yang menempatkan aset-aset AS.
Satu gencatan senjata sementara pernah dicapai pada 8 April, namun rundingan itu kemudiannya buntu berikutan pertikaian mengenai pelaksanaannya serta perkembangan terbaharu yang berlaku di rantau berkenaan.
-- BERNAMA-ANADOLU