Presiden Amerika Syarikat Donald Trump berharap pertemuan kedua dengan pemimpin Korea Utara Kim Jong Un berupaya mencapai kata sepakat berhubung penggantungan program nuklear yang dibangunkan republik itu.

Pertemuan menerusi sidang kemuncak kedua di Hanoi, Vietnam yang dijadual 27 dan 28 Feb ini juga diharap jadi medan untuk Washington-Pyongyang terus mengukuhkan hubungan dua hala yang sebelum ini berada di tahap terburuk berikutan isu nuklear.

Tambah Trump, hubungan Washington dan Pyongyang ketika ini bertambah baik dan memberangsangkan, malah tidak pernah berlaku sebelum ini di mana-mana era pentadbiran di White House.

Selain itu, katanya, hubungan baik dua negara ini juga akan mampu membantu membangunkan ekonomi Pyongyang.

"Lokasi mereka betul-betul di tengah antara Korea Selatan, Rusia dan China, ialah sesuatu yang luar biasa. Dan kami fikir, mereka ada peluang besar untuk capai kemakmuran ekonomi luar biasa pada masa depan," katanya.

BACA: Trump bertemu Jong Un kali kedua bulan depan

Pada masa sama, Trump yang mengangkat sumpah sebagai presiden AS pada Januari 2017 mendedahkan, bekas presiden Barack Obama hampir memulakan perang dengan Korea Utara susulan ketegangan berpanjangan dua negara itu.

Perkara itu katanya, didedahkan sendiri oleh presiden AS ke-44 itu sebelum beliau mengambil alih kerusi di White House.

"Saya bukan mahu bercakap bagi pihaknya, tetapi saya percaya beliau sedia untuk berperang dengan Korea Utara ketika itu.

"Katanya kepada saya, dia hampir sangat hendak memulakan perang dengan Korea Utara," katanya.

BACA: Berat badan Trump naik, cecah tahap obesiti!

Tambahnya, walaupun di bawah pentadbirannya, banyak pembaharuan berjaya dilakukan berbanding presiden-presiden terdahulu, semua pencapaian yang diusahakannya tidak menerima sebarang pengiktirafan.

Beliau turut mendakwa, Obama tidak sepatutnya menerima anugerah Nobel Keamanan yang diberikan kepadanya pada 2009.

Bagaimanapun, kenyataan Trump ini disangkal Ben Rhodes, Timbalan Penasihat Keselamatan Negara AS ketika pentadbiran Obama, yang menafikan dakwaan itu menerusi akaun Twitter miliknya.
Terdahulu pada Khamis, Setiausaha Negara AS Mike Pompeo berkata beliau menjangkakan Trump membincangkan kemungkinan menamatkan secara rasmi Perang Korea 1950-1953 pada sidang kemuncak itu.

"Ia (perisytiharan bahawa peperangan telah tamat) telah banyak kami bincangkan," kata diplomat terkemuka AS itu dalam satu temu bual dengan Fox News yang berlangsung di Warsaw, Poland.

"Saya harap kedua-dua pemimpin berpeluang membincangkan perkara itu. Saya menjangkakan mereka akan berbuat demikian," kata Pompeo, menurut laporan Bernama.