DUNIA
Trump kalah di mahkamah, Harvard menang besar isu geran penyelidikan

Penunjuk perasaan berkumpul di luar Mahkamah Persekutuan Moakley, tempat Universiti Harvard mencabar pemotongan geran penyelidikan berjumlah AS$2.6 bilion oleh pentadbiran Trump pada 21 Julai 2025, di Boston. - Gambar fail AP
BOSTON: Seorang Hakim Persekutuan Amerika Syarikat (AS) pada Rabu memutuskan, pentadbiran Presiden Donald Trump bertindak secara tidak sah apabila membatalkan geran penyelidikan bernilai kira-kira AS$2.2 bilion yang diberikan kepada Universiti Harvard.
Keputusan oleh Hakim Daerah AS, Allison Burroughs di Boston itu dilihat sebagai kemenangan besar buat Harvard yang ketika ini sedang berusaha mencapai penyelesaian bagi menamatkan pertikaian berpanjangan dengan White House.
Harvard, universiti tertua dan terkaya di AS yang berpusat di Cambridge, Massachusetts, menjadi sasaran utama kempen pentadbiran Trump yang menggunakan pengaruh dana Persekutuan untuk menekan universiti-universiti agar berubah, dengan alasan kononnya kampus dikuasai ideologi radikal kiri dan sikap antisemitisme.
Antara tindakan awal yang diambil pentadbiran itu adalah membatalkan ratusan geran penyelidikan atas alasan Harvard gagal melindungi pelajar Yahudi daripada gangguan di kampus.Harvard kemudian memfailkan saman, mendakwa tindakan itu bermotifkan dendam selepas universiti enggan tunduk kepada tekanan kerajaan yang mahu campur tangan dalam urusan pengambilan tenaga pengajar serta kurikulum pembelajaran.
Hakim Burroughs - yang dilantik oleh bekas Presiden Demokrat, Barack Obama mengakui bahawa memerangi antisemitisme adalah penting dan Harvard “salah kerana bertolak ansur terlalu lama dengan sikap kebencian.”
Namun, beliau menegaskan, matlamat sebenar pentadbiran Trump bukanlah untuk memerangi antisemitisme, sebaliknya, mahu menekan Harvard sehingga melanggar hak kebebasan bersuara di bawah Perlembagaan AS.
“Adalah tanggungjawab mahkamah untuk melindungi kebebasan akademik dan memastikan penyelidikan penting tidak sewenang-wenangnya dihentikan atau dibatalkan kerana agenda politik,” katanya.
Mahkamah turut menghalang pentadbiran Trump daripada menamatkan atau membekukan mana-mana pembiayaan penyelidikan baru serta mengarahkan semua pembayaran geran sedia ada kepada Harvard diteruskan.
Keputusan itu dibuat seminggu selepas Trump pada mesyuarat Kabinet 26 Ogos lalu mengulangi desakan agar Harvard mencapai penyelesaian dengan kerajaan dan membayar “tidak kurang daripada AS$500 juta,” sambil menuduh universiti itu “sangat teruk.”
Tiga lagi universiti Ivy League sudahpun membuat penyelesaian dengan pentadbiran Trump, termasuk Universiti Columbia yang pada Julai lalu bersetuju membayar AS$220 juta bagi mendapatkan semula dana penyelidikan yang ditahan ekoran dakwaan antisemitisme.
Tindakan terhadap Harvard turut berkait dengan pergerakan pro-Palestin di kampus universiti-universiti AS susulan serangan Hamas pada 7 Okt 2023 dan perang Israel di Gaza.
Harvard berkata, ia sudah mengambil langkah memastikan kampus lebih inklusif kepada pelajar Yahudi dan Israel yang berdepan layanan “kejam dan keterlaluan” selepas konflik Gaza bermula.
Selain membatalkan geran, pentadbiran Trump turut mengancam status akreditasi Harvard, cuba menghalang pelajar antarabangsa daripada belajar di situ, serta membuka siasatan baharu atas dakwaan universiti melanggar undang-undang hak sivil Persekutuan.
Dalam kes berasingan, Hakim Burroughs sebelum ini telah menghalang kerajaan daripada menafikan hak Harvard menerima pelajar antarabangsa, yang kini merangkumi hampir suku daripada keseluruhan jumlah pelajarnya. - Agensi
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami