Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump menandatangani perintah eksekutif mengharamkan operasi aplikasi dari China -- TikTok dan WeChat -- di Amerika Syarikat (AS) mulai 15 September ini.

Langkah pengharaman itu akan dikuatkuasakan dalam tempoh 45 hari bermula semalam.

Perintah itu dikeluarkan ketika AS berusaha untuk membina rangkaian bersih susulan kemuncak kebimbangan terhadap keselamatan data peribadi yang diuruskan oleh syarikat pengeluar aplikasi itu.

Tindakan itu sekali gus dilihat memberi tekanan kepada pemilik aplikasi ByteDance yang berpangkalan di Beijing, China untuk menjualnya kepada AS.

Sambil menyifatkan aplikasi itu sebagai 'ancaman ketara' kepada AS, Trump berkata TikTok berkemungkinan digunakan untuk kempen yang menguntungkan Parti Komunis China.

Tambah Trump, atas sebab itulah AS perlu mengambil langkah agresif bagi melindungi keselamatan negara.

Dalam perintah yang sama, Trump turut memaklumkan bahawa WeChat mempunyai ancaman keselamatan yang besar kerana mampu mengakses maklumat peribadi dan sensitif rakyat AS.

Perintah itu secara efektifnya melarang penggunaan aplikasi tersebut di AS dalam tempoh 45 hari dengan tidak melanjutkan permit, melarang sebarang transaksi yang berkaitan dengan WeChat serta kluasa lain yang tertakluk kepada bidang kuasa AS dan Tencent Holdings Ltd.

Namun begitu, Trump memaklumkan beliau menyokong penjualan operasi TikTok di AS kepada Microsoft Corp sekiranya kerajaan mendapat sebahagian besar daripada harga jualan aplikasi itu.