WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, mengeluarkan amaran keras bahawa aliran minyak global akan diteruskan dalam masa terdekat, sama ada dengan kerjasama Iran atau sebaliknya.
Menurut Trump, sebarang usaha untuk menghalang bekalan tenaga dunia tidak akan berjaya, sambil menegaskan bahawa pentadbirannya mempunyai keupayaan untuk memastikan pengeluaran minyak terus berjalan tanpa bergantung kepada Tehran.
Advertisement
Dalam kenyataan sama, Trump sekali lagi mengulangi pendiriannya berhubung program nuklear Iran dengan mendakwa negara itu tidak akan dibenarkan memiliki senjata nuklear.
“Oleh sebab kepimpinan saya, Iran tidak akan menjadi kuasa nuklear,” katanya.
Kenyataan tersebut hadir ketika ketegangan di Asia Barat terus memuncak, khususnya berhubung keselamatan laluan tenaga dan peranan Iran sebagai antara pengeluar minyak utama dunia.
Pasaran global sebelum ini menunjukkan kebimbangan terhadap sebarang gangguan bekalan susulan konflik yang semakin meruncing di rantau itu.
Setakat ini, kerajaan Iran belum mengeluarkan sebarang maklum balas rasmi terhadap kenyataan terbaharu presiden AS itu.