Trump mengaku terlibat dalam serangan Israel ke atas Iran 13 Jun lalu

Presiden Trump mendakwa, beliau memainkan peranan utama dalam serangan mengejut Israel ke atas Iran pada 13 Jun lalu, yang mengorbankan beberapa jeneral kanan dan saintis nuklear Iran. - Gambar Reuters
WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump pada Khamis mendakwa, beliau memainkan peranan utama dalam serangan mengejut Israel ke atas Iran pada 13 Jun lalu, yang mengorbankan beberapa jeneral kanan dan saintis nuklear Iran.
“Israel menyerang dahulu. Serangan itu sangat kuat. Saya benar-benar mengawal sepenuhnya serangan itu,” kata Trump kepada media.
“Ia adalah hari yang hebat buat Israel kerana serangan itu memberi lebih banyak impak berbanding semua serangan lain digabungkan.”
Kenyataan itu bercanggah dengan pendirian awal Washington yang menyatakan Israel bertindak secara unilateral dan menafikan penglibatan langsung Amerika Syarikat dalam serangan tersebut.
Serangan besar-besaran dan tindak balas Iran
Serangan Israel pada 13 Jun menyasarkan kemudahan nuklear dan ketenteraan Iran, termasuk membunuh beberapa pegawai tertinggi tentera dan saintis nuklear.
Iran membalas dengan melancarkan ratusan peluru berpandu ke arah Israel, termasuk ke Tel Aviv, dan menyerang pangkalan tentera AS di Qatar.
AS kemudian menyertai konflik dengan melancarkan serangan udara ke atas tiga kemudahan nuklear utama Iran - Fordow, Natanz dan Isfahan - menggunakan bom penembus bunker seberat 30,000 paun dalam operasi yang dinamakan Operation Midnight Hammer.
Trump menyifatkan serangan itu sebagai “kejayaan ketenteraan yang spektakular” dan mendakwa kemudahan nuklear Iran telah “dimusnahkan sepenuhnya.”
Kenyataan bercanggah daripada pentadbiran AS
Pada awal konflik, Setiausaha Negara AS, Marco Rubio menegaskan, Israel bertindak sendiri dan AS tidak terlibat dalam serangan ke atas Iran.
Namun, kenyataan Trump kemudian menunjukkan sebaliknya, apabila beliau berkata: “Saya tahu semuanya dan saya sangat mengawal serangan itu.”
Iran kekal bertegas
Iran belum mengeluarkan penilaian rasmi terhadap tahap kerosakan kemudahan nuklearnya, namun pegawai Tehran menegaskan, program nuklear negara itu masih boleh diteruskan berdasarkan kepakaran yang telah dibina selama bertahun-tahun.
Iran juga menyatakan mereka tidak akan menghentikan program nuklear awam walaupun diancam dengan perang dan menolak sebarang rundingan yang melibatkan isu peluru berpandu atau pengaruh serantau.
Walaupun konflik masih hangat, Trump menyatakan hasrat untuk mencapai perjanjian baharu dengan Iran yang akan membuka jalan kepada hubungan rasmi antara Tehran dan Tel Aviv.
Namun, penganalisis berpendapat, tiada desakan segera dari Washington untuk menyambung rundingan nuklear. - Agensi
Dapatkan berita terkini di sini


Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami

