DUNIA
Trump mohon Mahkamah Agung buat keputusan segera berhubung tarif

Presiden Trump akan memohon Mahkamah Agung supaya membuat keputusan segera bagi membatalkan keputusan Mahkamah Rayuan yang mendapati sebahagian besar tarif kontroversinya adalah tidak sah. - Gambar fail White House
ISTANBUL: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump pada Selasa berkata, beliau akan memohon Mahkamah Agung supaya membuat keputusan segera bagi membatalkan keputusan Mahkamah Rayuan yang mendapati sebahagian besar tarif kontroversinya adalah tidak sah, lapor Anadolu Ajansi (AA).
"Jika tarif dimansuhkan, kita boleh menjadi negara dunia ketiga.
"Kami akan ke Mahkamah Agung, kami fikir esok, kerana kami perlukan keputusan awal," kata Trump kepada wartawan di White House, sambil menegaskan "struktur kewangan negara" sedang dipertaruhkan.
"Kami akan memohon supaya diterima lebih awal ... Kami akan meminta satu keputusan dipercepatkan," kata beliau.Trump berkata, Amerika Syarikat telah menandatangani perjanjian perdagangan dengan Jepun, Kesatuan Eropah (EU) dan Korea Selatan, sambil mendakwa negara-negara terbabit membayar AS$950 bilion kepada Washington dan "berpuas hati" dengan perkara itu.
Namun, pengkritik menyifatkan perjanjian itu lebih berupa kerangka berbanding perjanjian penuh, selain menegaskan Trump telah salah menggambarkan sejauh mana AS akan mendapat manfaat daripadanya.
Berhubung usaha membatalkan tarif yang dilaksanakan melalui perintah eksekutif, Trump berkata: "Mereka (pengkritik) langsung tidak ada asas undang-undang untuk mencabarnya, malah dari sudut logik sekali pun, ia akan menghancurkan Amerika."
Trump turut menyatakan bahawa keputusan Mahkamah Rayuan pada Jumaat lalu menjadi punca kejatuhan pasaran saham AS pada Selasa.
"Pasaran saham jatuh kerana keputusan itu, kerana pasaran memerlukan tarif. Mereka mahu tarif," katanya.
Bagaimanapun, ramai penganalisis menyifatkan ketidakpastian mengenai tarif sebagai punca utama kejatuhan pasaran.
Pada Jumaat, Mahkamah Rayuan mendapati Trump tidak mempunyai kuasa untuk melaksanakan sebahagian besar tarif itu.
"Kuasa teras Kongres untuk mengenakan cukai seperti tarif diperuntukkan secara eksklusif kepada badan perundangan oleh Perlembagaan.
"Tarif adalah kuasa teras Kongres," menurut keputusan mahkamah itu.
Bagi memberi masa kepada pentadbiran Trump memfailkan rayuan ke Mahkamah Agung untuk membatalkan keputusan itu, mahkamah rayuan menangguhkan pelaksanaannya sehingga 14 Okt.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami