Trump selesa dengan Mamdani, janji bekerjasama untuk New York

Datuk Bandar New York yang baharu, Mamdani (kiri) berjabat tangan dengan Presiden AS, Donald Trump semasa pertemuan di Pejabat Oval, White House, Washington, pada Jumaat. - Gambar Reuters
WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, menyatakan beliau tidak mempunyai masalah untuk tinggal di New York sekiranya bandar itu berada di bawah pentadbiran Datuk Bandar Zohran Mamdani.
“Ya, saya selesa. Saya benar-benar selesa, terutamanya selepas pertemuan itu. Sudah tentu,” kata Trump ketika ditanya mengenai perkara berkenaan.
Trump turut menegaskan, beliau sependapat dengan Mamdani dalam banyak perkara, walaupun terdapat perbezaan pandangan dalam beberapa isu.
Malah, Presiden AS itu mengakui bersetuju dengan Senator Bernie Sanders, seorang sosialis demokrat, dalam lebih banyak perkara berbanding apa yang disangka ramai.
Spekulasi mengenai kemungkinan berlaku ketegangan semasa kunjungan Mamdani ke White House ternyata meleset apabila Trump dilihat mesra sepanjang pertemuan di Oval Office.
“Kami akan membantu beliau,” kata Trump sambil menambah, “Kami bersetuju dalam lebih banyak perkara daripada yang saya sangka.”
Kenyataan itu berbeza sama sekali dengan pendirian Trump semasa kempen Datuk Bandar New York sebelum ini, apabila beliau berulang kali mengugut untuk menarik balik dana persekutuan sekiranya Mamdani menang.
“Saya fikir anda akan mempunyai seorang Datuk Bandar yang hebat. Lebih baik beliau lakukan tugasnya, lebih gembira saya,” ujar Trump.
Apabila ditanya mengenai kenyataan terdahulu yang melabel Mamdani sebagai ‘komunis’, Trump menjawab ringkas bahawa pandangannya kini telah berubah.
“Sebahagian pandangan saya telah berubah,” katanya. “Saya yakin beliau mampu melakukan tugas dengan baik.”
Sepanjang sesi soal jawab bersama media, Trump beberapa kali menyatakan sokongan terhadap Mamdani, malah dilihat menepuk lengan Mamdani sambil berkata tidak mengapa jika beliau digelar ‘kejam.’
“Saya pernah dipanggil jauh lebih teruk daripada kejam,” seloroh Trump.
“Jadi ia tidaklah terlalu menghina.”
Trump dan Mamdani jelas berusaha mengelak sebarang ketegangan di White House.
Menyentuh masa depan, Trump berkata mereka mungkin akan berbeza pendapat, namun yakin mampu meyakinkan antara satu sama lain.
“Saya harap kami akan bertemu lagi,” kata Trump di penghujung pertemuan.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


