PUTRAJAYA: Pelarasan perbelanjaan mengurus yang dilaksanakan kerajaan tidak akan menjejaskan perkhidmatan kesihatan asas rakyat termasuk rawatan, penjagaan kecemasan dan bekalan ubat-ubatan.
Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata apa dibincangkan ketika ini hanyalah melibatkan cadangan pelarasan kepada perbelanjaan mengurus (OE), dan bukannya pemotongan muktamad.
Advertisement
“Itu adalah cadangan daripada Kementerian Kewangan (MOF) selepas mesyuarat Kabinet. Ia belum dimuktamadkan,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan program Perkhidmatan Kesihatan Pekerjaan Khusus Bagi Sektor Awam (MyOHS-PS) dan Program Kesihatan Tempat Kerja Bersepadu (IWHP) di sini hari ini.
Dzulkefly berkata kerajaan komited untuk memastikan perkhidmatan kesihatan teras terus dilindungi seperti dirancang dalam Belanjawan 2026.
Sehubungan itu, beliau memberi jaminan perkhidmatan kesihatan asas, rawatan pesakit, penjagaan kecemasan dan bekalan ubat-ubatan tidak akan dikurangkan.
Bagaimanapun, Dzulkefly tidak menolak kemungkinan pelarasan itu akan melibatkan perkara lain yang bukan teras, selaras dengan usaha pengurusan kewangan lebih berhemat.
Beliau berkata cadangan langkah penjimatan seperti pengurangan pengisian jawatan masih belum diputuskan, namun memberi jaminan bahawa penambahan tenaga kerja kesihatan, khususnya doktor kontrak, tidak akan terjejas.
“Kita baru sahaja menerima lebih 4,500 jawatan baharu untuk doktor kontrak. Insya-Allah perkara itu tidak akan terjejas,” katanya.
Semalam, MOF mengesahkan telah mengeluarkan panduan kepada kementerian serta agensi untuk menyusun semula keutamaan bagi perbelanjaan mengurus.
Dalam kenyataan tersebut, kementerian itu turut memaklumkan langkah berkenaan selaras dengan cabaran krisis bekalan global dan tanggungan subsidi yang meningkat.
Terdahulu, Dzulkefly melancarkan program MyOHS-PS dan IWHP sempena Sambutan Hari Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 2026.
Dalam ucapannya, beliau berkata MyOHS-PS diperkenalkan sebagai program transformasi bagi memperkukuh perkhidmatan kesihatan pekerjaan sektor awam melalui pendekatan lebih sistematik dan berasaskan pengurusan risiko.
Program itu memberi fokus kepada pengawasan perubatan, pengesanan awal penyakit pekerjaan serta intervensi bersasar dengan projek rintis dilaksanakan di Lembah Klang melibatkan empat agensi berisiko tinggi iaitu Polis Diraja Malaysia, pihak berkuasa tempatan, Jabatan Pengangkutan Jalan serta Agensi Nuklear Malaysia.
“Berdasarkan dapatan projek rintis ini, kita akan memperluaskan pelaksanaannya ke seluruh negara selaras dengan Pelan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara 2026-2030,” katanya.
Selain itu, IWHP diperkenalkan sebagai program intervensi kesihatan tempat kerja secara holistik yang merangkumi saringan kesihatan, promosi gaya hidup sihat serta sokongan kesihatan mental.
Sebagai langkah permulaan, beliau berkata Kementerian Kesihatan melancarkan kempen “Paru-Paru Sihat, Pekerja Selamat” bagi meningkatkan kesedaran terhadap kesihatan respiratori, termasuk risiko pendedahan kepada asap rokok dan vape di tempat kerja.
-- BERNAMA