Trump tandatangan Akta Kebenaran Pertahanan Negara bernilai US$901 bilion

Trump berkata pentadbirannya akan melaksanakan peruntukan berkenaan "selaras dengan kuasa perlembagaan Presiden" sebagai ketua angkatan tentera dan ketua eksekutif. - Gambar/ Reuters
WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump pada Khamis menandatangani Akta Kebenaran Pertahanan Negara (NDAA) satu langkah bernilai US$901 bilion yang menggariskan dasar serta perbelanjaan Pentagon bagi 2026, lapor Anadolu Ajansi.
Dalam kenyataan panjang yang dikeluarkan oleh Rumah Putih, Trump berkata perundangan berkenaan akan memajukan agenda "Keamanan Melalui Kekuatan", memperkukuh keselamatan tanah air dan menguatkan asas industri pertahanan, di samping menghapuskan "program membazir dan radikal" yang melemahkan nilai tempur ketenteraan.
Perundangan itu meluluskan peruntukan tambahan sebanyak US$8 bilion melebihi jumlah yang dimohon oleh pentadbiran Trump.
Antara peruntukan utama dalam rang undang-undang setebal 3,086 halaman itu termasuk US$800 juta untuk Ukraine -- US$400 juta bagi setiap dua tahun akan datang -- sebagai sebahagian daripada Inisiatif Bantuan Keselamatan Ukraine, serta pemansuhan sekatan Caesar ke atas Syria di bawah rejim bekas Presiden Bashar al-Assad.
Rang undang-undang itu turut memperuntukkan US$600 juta kepada Israel, termasuk dana bagi inisiatif pertahanan peluru berpandu bersama seperti sistem Iron Dome.
NDAA juga membenarkan Jabatan Pertahanan AS mengutip dana daripada sekutu Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) bagi mengimbangi kos penempatan tentera AS di Eropah Timur.
Ia mewajibkan komander US European Command (EUCOM) menjalankan penilaian tahunan mengenai bagaimana AS dan NATO mengekalkan kelebihan ketenteraan relatif berbanding Rusia.
Selain itu, Pentagon dikehendaki menilai kesan terhadap keselamatan AS sebelum mengurangkan struktur tenteranya di Eropah ke bawah paras 76,000 anggota.
Walaupun menyatakan sokongan terhadap objektif teras rang undang-undang itu, Trump berkata beberapa peruntukan menimbulkan kebimbangan perlembagaan.
Beliau membantah klausa yang menurutnya cuba menentukan pendirian AS dalam hal ehwal luar dan ketenteraan, mewajibkan pendedahan maklumat keselamatan negara yang istimewa atau sensitif kepada Kongres, atau mengehadkan kuasa presiden ke atas penempatan tentera, sumber ketenteraan dan pengurusan cabang eksekutif.
Trump berkata pentadbirannya akan melaksanakan peruntukan berkenaan "selaras dengan kuasa perlembagaan Presiden" sebagai ketua angkatan tentera dan ketua eksekutif, termasuk kuasa berkaitan hal ehwal luar, maklumat keselamatan negara, serta syor kepada Kongres.
Beberapa peruntukan akan ditafsirkan dengan cara yang tidak menjejaskan keupayaan presiden untuk melaksanakan misi ketenteraan, mengurus struktur organisasi berkaitan nuklear, mengawal maklumat sulit, atau menentukan masa serta kebolehlaksanaan pemberitahuan kepada Kongres mengenai tindakan ketenteraan dan diplomatik.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


